Disember 19, 2024

WhatsApp Image at AM

UTM tingkat pertanian lestari melalui penanaman pokok durian di Dusun 2

JOHOR BAHRU, 14 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar melalui program penanaman pokok durian di Dusun 2, UTM Johor Bahru. Majlis ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU), pasukan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan)(JTNCP), serta pasukan Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS).

WhatsApp Image at AM
Ucapan aluan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad
WhatsApp Image at AM
Ucapan perasmian oleh Datuk Naib Canselor UTM

Dalam perasmian ini, sebanyak 15 batang pokok durian Raja Kunyit atau lebih dikenali sebagai Musang King dan beberapa batang pokok durian Duri Hitam (Blackthorn) telah ditanam di kawasan seluas 4 ekar di Dusun 2 ini. Penanaman pokok ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kelestarian kampus. Selain bertujuan untuk meningkatkan kehijauan kawasan kampus, usaha ini juga diharapkan dapat memberi manfaat kepada komuniti universiti serta masyarakat setempat di masa hadapan. Secara keseluruhannya, sebanyak 2,000 pokok durian akan ditanam di dusun UTM dan secara tidak langsung UTM telah mencipta satu kawasan serapan karbon kecil yang menyumbang kepada udara yang lebih bersih dan pengurangan pelepasan karbon.

WhatsApp Image at AM
Pemandangan di sekitar Dusun 2 UTM
WhatsApp Image at AM
Gimik perasmian penanaman pokok oleh Datuk Naib Canselor UTM

Pelaksanaan program ini berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) khususnya dalam mencapai SDG 13 iaitu Tindakan Iklim, SDG 15 yang berkait rapat dengan Kehidupan di Darat, dan SDG 2 iaitu Kelaparan Sifar. Penanaman pokok durian bukan sahaja membantu dalam pengurangan pelepasan karbon tetapi juga menyokong kestabilan biodiversiti dan pemeliharaan ekosistem di kawasan sekitar. Selain itu, hasil dusun durian ini kelak berpotensi menjadi sumber makanan dan ekonomi mampan yang dapat memberikan manfaat kepada generasi masa hadapan.

WhatsApp Image at AM
Datuk Naib Canselor UTM menunjukkan maklumat pokok durian Musang King yang telah ditanam diimbas melalui QR code dan kod pokok yang ditanam ialah MK0001

Majlis perasmian ini turut mendapat sokongan penuh daripada semua pihak dalam kalangan warga universiti yang komited dalam usaha mencapai kelestarian alam sekitar. Sebagai rumusan, penanaman durian Musang King di Dusun 2 merupakan pencapaian yang penting bagi UTM, menunjukkan pendekatan penggunaan tanah yang berwawasan ke hadapan dengan menggabungkan keuntungan ekonomi dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Dengan memberi fokus kepada beberapa kriteria seperti penanaman stok tanaman berkualiti tinggi, pengintegrasian teknologi pemantauan canggih, penumpuan terhadap penyerapan karbon, UTM berupaya untuk menunjukkan bagaimana pertanian lestari boleh dilaksanakan dengan berkesan dalam persekitaran universiti. Projek ini menonjolkan komitmen UTM dalam mencipta nilai yang melangkaui kampus dan memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju dalam inisiatif yang bermanfaat kepada alam sekitar dan ekonomi.

Oleh Prof. Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa, Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset dan Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil Md Din, Pengarah UTMCS

Explore More