Disember 19, 2024

ikan

Pleco Hunter: UTM antara institusi main peranan tangani ancaman ikan bandaraya di Sungai Skudai

SKUDAI, 29 Sept – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dengan kerjasama Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya, Jabatan Perikanan, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Memburu Ikan Bandaraya (Pleco Hunter) sebagai sebahagian daripada Minggu Sambutan Hari Sungai Sedunia yang berlangsung di Denai Sungai Skudai.

Program ini bertujuan untuk menangkap ikan bandaraya, sejenis spesies invasif yang mengancam ekosistem sungai tempatan. Program tersebut juga melibatkan kajian penyelidikan oleh pensyarah di UTM untuk menghasilkan produk yang dapat dimanfaatkan daripada ikan invasif tersebut.

ikan
Pihak komuniti turut sama turun padang bagi menangkap ikan invasif ini di perairan Sungai Skudai

Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin, pensyarah kanan di Fakulti Sains UTM, yang juga merupakan Pengetua Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) menyatakan bahawa KTHO sememangnya sudah mengorak langkah menerusi kempen kesedaran dan penyelidikan terhadap dominasi ikan ini di sungai-sungai tempatan.

Menurut beliau lagi, “Kolaborasi dengan komuniti pemburu ikan bandaraya dari Selangor telah berjaya menangkap sekitar 300 kg ikan bandaraya. Sementara itu, UTM akan meneruskan kajian lanjut melalui penyelidik pakar. Dr. Mira Panadi, Pensyarah Jabatan Biosains, Fakulti Sains, akan mengkaji komposisi bahan kimia yang terdapat dalam ikan bandaraya.”

ikan
Peserta Pleco Hunter berjaya menangkap sebilangan besar ikan bandaraya menggunakan jalanya sendiri

Beliau turut menambah, “Di UTM, kami mempunyai makmal Living Lab di bawah Fakulti Sains yang digunakan untuk kajian dan penanaman pokok. Di sini, kami akan bekerjasama dengan Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim, seorang pakar baja, yang akan menukarkan ikan tersebut kepada baja Asid Amino seterusnya mengkaji kesan baja ikan bandaraya terhadap tumbesaran tumbuhan.”

“Program ini juga memberikan peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam kajian kes (case study) tentang permasalahan berkenaan ikan invasif ini dalam kelas Ekologi bagi topik ‘Invasive Species‘. Kami juga bercadang untuk mengadakan kempen kesedaran untuk meningkatkan kefahaman komuniti tentang pemuliharaan ekosistem,” ujar beliau.

ikan
Hasil tangkapan ikan bandaraya bersama komuniti dengan anggaran seberat 300 kg

Sementara itu, pengasas Pertubuhan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya, Mohamad Haziq A Rahman, yang turut terlibat dalam program ini berkata, “Kami datang ke Johor untuk memberi kesedaran kepada penduduk tempatan tentang masalah ikan bandaraya yang telah menjajah perairan air tawar negara kita. Kami berharap agar rakyat Johor juga dapat melaksanakan program sebegini secara berkala, seperti yang dilakukan di Selangor. Di Selangor, program ini giat dijalankan, dan penduduk yang menangkap ikan bandaraya diberi insentif RM1 bagi setiap kilogram ikan yang ditangkap.”

Beliau turut menyatakan hasrat untuk melihat kerjasama lebih erat antara komuniti tempatan dan universiti di Johor bagi menghasilkan lebih banyak manfaat daripada penangkapan ikan bandaraya ini, di samping memulihkan ekosistem tempatan.

ikan
Mohamad Haziq (kiri) memegang tangkapan ikan bandaraya di samping Dr. Farizal (kanan)

Program ini bukan sahaja bertujuan membersihkan ekosistem sungai, malah membantu memperbaiki strukturnya yang sering terjejas akibat tindakan ikan bandaraya yang merosakkan tebing sungai, yang boleh mengakibatkan banjir kilat. Natijahnya, program ini diharapkan akan membuka jalan kepada kajian lebih mendalam oleh penyelidik tempatan untuk melindungi persekitaran sungai di masa hadapan.

Explore More