Oktober 5, 2024

Search
Close this search box.
Featured image MBOR

FKM UTM Catat Sejarah The Malaysia Book of Records Syarahan Kejuruteraan Mekanikal Tanpa Henti Secara Langsung Paling Lama

JOHOR BAHRU, 5 Jun – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengukir nama dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penganjuran Syarahan Kejuruteraan Mekanikal Tanpa Henti Secara Langsung Paling Lama.

Syarahan ini telah melibatkan penyertaan seramai 60 pensyarah FKM UTM yang bertindak sebagai penyampai dengan setiap slot diperuntukkan masa selama 30 minit.

MODE
Prof. Madya Dr. Aini Zuhra Abdul Kadir antara salah seorang daripada 60 pensyarah FKM UTM yang terlibat dalam usaha untuk mencipta rekod Syarahan Kejuruteraan Mekanikal Tanpa Henti Paling Lama.

Syarahan ini telah bermula tepat jam 9 pagi pada 4 Jun dan berakhir tepat jam 9 pagi pada 5 Jun.

Pengarah Program, Ir. Ts. Dr. Wong Keng Yinn berkata, penganjuran syarahan ini memberi peluang dan ruang kepada pelajar-pelajar kejuruteraan mekanikal bukan sahaja dari UTM dan Malaysia, malah dari segenap pelusuk dunia untuk sesi pengajaran dan pembelajaran yang bersifat interaktif, hibrid, terbuka, merentas masa dan sempadan global.

“Selari dengan pengajaran dan pembelajaran masa kini yang bersifat digital dan dinamik, syarahan ini juga boleh diikuti secara penstriman langsung menerusi platform-platform Facebook Rasmi FKM UTM dan Youtube. Ilmu berkaitan kejuruteraan mekanikal disampaikan tanpa henti dalam tempoh 24 jam tersebut.

Sementara itu, Dekan FKM UTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad berkata, penganjuran syarahan ini merupakan peluang keemasan kepada barisan ahli akademik FKM UTM untuk berkongsi ilmu sejajar dengan kepakaran dalam bidang masing-masing.

MBOR Dekan
Dekan FKM UTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad ketika sidang media selepas berakhirnya Syarahan Kejuruteraan Mekanikal yang berjaya mengukir nama FKM dalam The Malaysia Book of Records.

“Syarahan yang bersifat hibrid dan terbuka ini juga menunjukkan kesediaan landskap pendidikan tinggi negara untuk pantas berubah selari dengan transformasi digital pendidikan di peringkat global,” tambah beliau yang juga merupakan antara barisan penyampai syarahan ini.

Syarahan Kejuruteraan Mekanikal ini diadakan bersempena dengan penganjuran Mechanical Open Day & Exhibition (MODE) 2024 yang berlangsung dari 4 hingga 5 Jun.

MBOR Overall
Kerjasama warga FKM UTM dibantu sokongan padu dan jitu daripada penaja utama, Haos Ek? telah merealisasikan impian untuk mengukir nama dalam The Malaysia Book of Records.

Sementara itu, sijil MBOR telah diserahkan oleh wakilnya, Puan Siti Hajar Johor kepada Dr. Zaini Ahmad sebaik sahaja syarahan tersebut berakhir. Hadir bersama dalam majlis penyerahan sijil tersebut ialah barisan pengurusan tertinggi FKM UTM, pengurusan Haos Ek? selaku penaja utama program, wakil pelajar dan rakan-rakan media yang lain.

Explore More