Disember 4, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Nov. – Tatkala ijazah doktor falsafah (PhD) menjadi kemuncak kepada pencapaian akademik buat seseorang individu, lain pula ceritanya untuk Prof. Dr. Mohd Rafie Johan.

Beliau yang juga seorang Profesor dalam bidang kejuruteraan bahan di Universiti Malaya (UM) mengambil keputusan mengikuti kursus ijazah sarjana muda (kejuruteraan kimia) menerusi platform School of Professional and Continuing Education (SPACE), dan akhirnya bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen ke-67 (MK67) kali ini.

Prof. Dr. Mohd Rafie bertekad memiliki ijazah kejuruteraan profesional memandangkan beliau merupakan salah seorang tenaga pengajar di Fakulti Kejuruteraan UM.

“Atas inisiatif sendiri, saya mendaftar sebagai pelajar SPACE sejak tahun 2016, dan Alhamdulillah akhirnya berjaya menamatkan pengajian setelah tujuh tahun.

“Memandangkan ijazah pertama saya dalam bidang fizik, saya bertekad untuk mengambil ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan.

“Inisiatif saya ini sejajar dengan kehendak Universiti yang ingin para pensyarahnya memiliki ijazah kejuruteraan profesional memandangkan saya merupakan salah seorang tenaga pengajar di Fakulti Kejuruteraan. Secara tidak langsung, itulah yang mendorong saya untuk mengikuti program ini.

“UTM menjadi pilihan saya memandangkan ia mempunyai sistem kurikulum kejuruteraan yang berwibawa dan diiktiraf khususnya oleh Lembaga Jurutera Malaysia dan Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC) Malaysia.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur atas kejayaan ini, walaupun terpaksa berkorban masa dan berjauhan dengan keluarga pada setiap hujung minggu untuk menghadiri kelas, ditambah pula kesibukan saya sebagai kakitangan akademik.

“Di samping itu, dengan latar belakang pelajar SPACE yang rata-ratanya sudah bekerja dan datang dari lokasi berbeza, ia menjadi kekangan dan cabaran (terutamanya masa) untuk kami melaksanakan tugasan berkumpulan.

“Alhamdulillah, semua cabaran kami sama-sama dapat atasi dengan usaha gigih dan fokus yang diberikan dalam kelas. Itulah yang menjadi inspirasi dan motivasi saya untuk bertahan dan akhirnya berjaya menggengam ijazah ini.

“Terima kasih kepada ibu dan keluarga saya atas doa, semangat dan sokongan yang telah dicurahkan sepanjang tujuh tahun pengajian.

Berkat doa ibu dan keluarga menjadi azimat kepada kejayaan Prof. Dr. Mohd Rafie.

“Saya juga sangat terhutang budi dan berterima kasih kepada semua pensyarah UTM sama ada dari Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Akademi Bahasa. Mereka mengajar dengan penuh dedikasi, penuh komitmen, juga mengorbankan masa mereka di hujung minggu untuk mengajar kami.

“Tidak dilupakan, bantuan dan sokongan yang telah diberikan oleh kakitangan pentadbiran SPACE yang melancarkan lagi perjalanan pengajian saya dan rakan-rakan.

“Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang bersama-sama saya dalam program ini, sebab di antara mereka saya paling senior. Mereka bersedia untuk berkawan dengan saya dan bekerjasama dalam setiap tugasan yang diberikan.

Explore More