November 5, 2024

Search
Close this search box.

Danial Iskandar: Figura cemerlang dalam pelajaran, sosok hebat dalam kepimpinan

JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Aktif dalam bidang kepimpinan bukan satu penghalang kepada kejayaan Danial Iskandar Jafridin, 26, sehingga berjaya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja bersempena dengan Majlis Konvokesyen ke-67 Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

Anak kelahiran Kampung Parit Punggur Darat, Muar ini merupakan anak kedua dari enam orang adik-beradik. Kehebatan beliau dalam bidang kepimpinan sememangnya tidak dapat disangkal lagi sejak dari bangku sekolah. Di UTM, beliau diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 21/22. 

Di samping itu, beliau turut menggalas amanah sebagai Bendahari Kehormat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK). Kini, beliau menjadi antara suara perjuangan anak muda di peringkat nasional menerusi platform Ahli Parlimen Belia Malaysia.

Sepanjang tempoh pengajiannya di UTM pula, beliau berjaya memperoleh Anugerah Dekan untuk 8 semester berturut-turut dan berjaya menamatkan Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan Kemahiran Hidup dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.88. 

Kecemerlangan itu melayakkan beliau untuk dinobatkan sebagai Ikon Siswa Johor bagi kategori Akademik pada tahun 2022.

“Saya sedar akan cabaran dalam mengimbangi kecemerlangan akademik dan dalam masa yang sama bergiat aktif dalam aspek kepimpinan. Namun, sokongan ibu bapa, rakan seperjuangan, pensyarah-pensyarah dan staf Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JTNCHEPA) menjadi penyuntik semangat untuk menyelesaikan perjalanan sarjana muda ini dengan noktah cemerlang.

Sokongan ibu bapa menjadi penyuntik semangat Danial Iskandar sepanjang perjalanan pengajian beliau.

“Tambahan pula, pasaran kerjaya pada hari ini tidak tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata. Aspek-aspek lain seperti kemahiran komunikasi dan kemahiran insaniah yang lain turut menjadi kayu ukur bagi industri di luar sana.

“Selagi mana kita merupakan seorang mahasiswa di menara gading, belajar dan terokai segala ilmu agar tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Setiap pengalaman akan membentuk peribadi setiap mahasiswa. Dan peribadi ini yang membezakan setiap mahasiswa” katanya. 

Tambahnya lagi, menjadi seorang mahasiswa adalah peluang keemasan kerana disini bermulanya perkembangan dari segi intelek dan praktikal.

“Adalah menjadi harapan saya untuk terus membawa perubahan dan suara anak muda di peringkat Parlimen Belia. Saya percaya Malaysia masih berada di landasan yang tepat untuk mencapai status negara maju sekiranya bakat, tenaga dan sumbang saran anak muda diposisikan sebagai teras dan tunjang dalam penggubalan sesebuah dasar atau polisi,” ulas beliau di akhir temubual.

Explore More