November 25, 2024

Search
Close this search box.

Organisasi perlu pemimpin dengan Kepimpinan Neuro

Kepimpinan yang efektif adalah antara salah satu faktor yang sangat menyumbang kepada kecemerlangan sesebuah organisasi. Keperluan untuk mempunyai pemimpin yang berilmu, berkemahiran dan mempunyai atitud yang cemerlang adalah sangat tinggi. Bagaimanakah untuk mewujudkan pemimpin yang mempunyai ciri-ciri tersebut, serba boleh, mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi, bijak menyelesaikan masalah, hebat dalam membuat keputusan dan bijak memimpin pengikutnya sehingga mencapai kecemerlangan organisasi?

Kepimpinan neuro (Neuroleadership) adalah merupakan satu bidang multidimensi yang menggabungkan pelbagai dimensi dan aspek yang berkaitan dengan kepimpinan, fungsi otak dan dinamik organisasi. Beberapa dimensi utama yang sering dikaitkan dengan pemimpin kepimpinan neuro adalah seperti yang berikut:

  1. Pemimpin kepimpinan neuro mempunyai kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi. Mereka sangat memahami, bijak mengurus emosi sendiri dan mempunyai empati dengan emosi orang lain.
  2. Pemimpin kepimpinan neuro bijak membuat keputusan. Mereka bijak membuat keputusan dan menggunakan proses kognitif dengan berkesan. Mereka mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan atau pilihan yang lebih rasional, tidak mengikut emosi dan untuk kepentingan organisasi.
  3. Pemimpin kepimpinan neuro mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi. Mereka sedar tentang kelemahan dan kekuatan, kelemahan diri sendiri. Mereka sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri sendiri dan menggunakan kekuatan mereka secara optimum. Mereka bijak menyesuaikan tingkah laku mereka dengan situasi semasa dan dengan sewajarnya.
  4. Pemimpin kepimpinan neuro mengiktiraf dan menghargai kepelbagaian. Mereka sentiasa mewujudkan persekitaran inklusif yang menampung gaya kognitif yang berbeza.
  5. Pemimpin kepimpinan neuro memahami keupayaan otak untuk berubah dan menyesuaikan diri dari semasa ke semasa. Mereka selalu mencari peluang untuk membangunkan kemahiran diri dan tabiat baharu yang bermanfaat.
  6. Pemimpin kepimpinan neuro bijak mengurus tekanan. Mereka memberi tumpuan kepada kaedah untuk membantu pengikut yang mengalami tekanan dan mencegah ‘burn-out’ kerana tekanan boleh memberi kesan negatif dalam membuat keputusan dan kesejahteraan organisasi.
  7. Pemimpin kepimpinan neuro mengamalkan komunikasi yang berkesan. Kepimpinan neuro mengkaji bagaimana otak memproses maklumat dan ingatan untuk mewujudkan komunikasi yang lebih meyakinkan dan berkesan.
  8. Pemimpin kepimpinan neuro selalu memberi motivasi dan ganjaran. Motivasi dan ganjaran ini ini menyumbang kepada penglibatan pengikut untuk bekerja sebagai satu pasukan dan menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.
  9. Pemimpin kepimpinan neuro menggalakkan pembelajaran dan perkembangan. Mereka memahami bagaimana otak belajar, mengekalkan maklumat, dan menyesuaikan diri dengan pengetahuan baharu. Mereka menggunakan pengetahuan ini untuk merekabentuk program latihan dan pembangunan yang lebih berkesan.
  10. Pemimpin kepimpinan neuro menggalakkan keterangkuman (inclusive) dan kepelbagaian. Tiada seorang pengikut pun dipinggirkan dan mereka memahami cara mewujudkan persekitaran di mana individu yang mempunyai latar belakang yang pelbagai berasa dihargai dan disertakan.
  11. Pemimpin kepimpinan neuro memberi tumpuan kepada teknik bimbingan yang diambil daripada neurosains untuk membantu pemimpin dan individu meningkatkan prestasi, kesejahteraan dan kemahiran kepimpinan mereka.
  12. Pemimpin kepimpinan neuro mahir dalam pengurusan perubahan. Mereka bijak bertindak balas terhadap perubahan dan ketidakpastian. Mereka menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk menghadapi perubahan dan memimpin pasukan mereka melalui peralihan dengan lebih berkesan.

Kesemua ciri pemimpin neuro di atas adalah saling berkait antara satu sama lain dan ia perlu diamalkan secara berterusan. Kepimpinan neuro yang berkesan melibatkan pertimbangan pelbagai dimensi secara serentak untuk meningkatkan amalan kepimpinan, mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan menggalakkan pertumbuhan individu dan organisasi.

Explore More