Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 26 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Kerjaya (UTMCC) telah dijemput menghadiri program Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kementerian Sumber Manusia Peringkat Zon Selatan di PERSADA International Convention Centre, Johor Bahru, hari ini.

Majlis ini turut menyaksikan pelancaran Geran Dana Kebolehpasaran MyNext Future Youth Aspiration berjumlah RM2 juta oleh TalentCorp di mana UTM menjadi universiti pertama menerima Surat Hasrat (Letter of Intent) dari geran ini atas dasar komitmen dan kerjasama yang temeterai sejak sekian lama.

Dalam majlis tersebut, UTM diwakili oleh Pengarah UTMCC, Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid Mamat.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, YB Tuan V. Sivakumar menerusi ucapan perasmian yang dibacakan oleh Setiausaha Bahagian Dasar Kementerian Sumber Manusia, Tuan S. Siva Kumar menjelaskan “Geran Dana ini merupakan satu pelaburan strategik Kerjaaan MADANI dalam menjayakan inisiatif inspirasi oleh TalentCorp untuk membentuk hubungan penting antara pendidikan dan kebolehkerjaan masa hadapan.

Ucapan Menteri Sumber Manusia yang disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Dasar Kementerian Sumber Manusia, Tuan S. Siva Kumar.

“Geran dana ini merupakan inisiatif tiga tahun yang mana setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan diperuntukkan dengan jumlah maksimum sebanyak RM100,000.

“Dengan adanya Geran Dana ini, kita berharap Kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) di seluruh negara akan terus meningkat. UTM misalnya menjadi contoh antara Universiti terbaik daripada aspek GE di peringkat nasional, dengan mengungguli kategori Graduan Berpendapatan Premium dan Graduan Tahap Kemahiran Tinggi.

UTM menjadi universiti pertama menerima Surat Hasrat (Letter of Intent) dari geran ini atas dasar komitmen dan kerjasama yang temeterai dengan TalentCorp.

Majlis perasmian ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, En. Shakib Shakir dan GCEO TalentCorp, En. Thomas Mathew.

Sejak tahun 2014, UTM telah giat bekerjasama dengan TalentCorp dalam memperkasakan graduan UTM ke arah ekosistem bakat di pasaran pekerjaan. Antara program yang dilaksanakan ialah Sector Focused Career Fair (SFCF), CIMB Talent Trail dengan kerjasama TalentCorp, Asean Structured Internship Programme, Young Employable Students (YES!) dan sebagainya.

Selain itu, UTM juga telah menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman bersama TalentCorp pada tahun 2021 bagi mengeratkan lagi kolaborasi di antara UTM dan TalentCorp.

UTMCC telah menggunakan sistem Mynext di bawah TalentCorp kepada semua pelajar tahun akhir sebelum bergraduan melalui program Talent and Competency Management (TCM) sejak 2020. Sistem Mynext berupaya memprofil personaliti kerjaya pelajar dan bakal graduan UTM supaya ia sejajar dengan kurikulum serta pencapaian akademik mereka di universiti.

Selain itu, sistem ini dapat membantu UTMCC mengenalpasti tahap prestasi kerjaya dan akademik pelajar seterusnya dapat memberi bimbingan pelajar untuk bersedia menceburi alam pekerjaan.

Explore More