Psikologi sukan ialah bidang yang berkaitan dengan aspek tingkah laku atlet dalam sukan, yang mengkaji aspek psikologi dan tingkah laku orang dalam sukan terutama psikomotor, kognitif dan afektif. Matlamat utama adalah untuk melihat kesan aktiviti sukan terhadap tingkah laku fizikal, emosi dan kognitif seseorang, secara langsung atau tidak langsung apabila menyertai aktiviti sukan tersebut. Psikologi sukan ialah bidang pengajian yang menggunakan prinsip psikologi untuk sukan.
Psikologi sukan membantu meningkatkan prestasi atlet, meningkatkan pembentukan karakter dan semangat kesukanan di samping membantu meningkatkan keyakinan diri, mengurus tekanan, meningkatkan konsentrasi dan mengembangkan kemahiran “semangat berpasukan”. Dalam konteks sukan, komponen kognitif merujuk kepada aspek pengetahuan, membuat keputusan secara strategik dan berkesan.
Komponen emosi merujuk kepada aspek mengawal kemarahan, mencapai ketenangan dan kebahagiaan. Sebagai contoh, atlet gimnastik berpengalaman yang mengetahui dan menguasai teknik terjun boleh menghasilkan persembahan yang lebih baik daripada atlet yang kurang mahir kerana tidak berpengalaman dalam mengawal ketenangan dan tahap fokus semasa pertandingan.
Selain itu, kemahiran membuat keputusan yang tepat sama ada untuk menyerang atau bertahan membantu atlet untuk melakukan tindakan yang betul agar dapat mengatasi pihak lawan, begitu juga dengan adanya pengetahuan dalam strategi permainan, atlet boleh mengalahkan pihak lawan secara berkesan.
Malaysia
Di Malaysia, psikologi sukan telah menjadi bidang yang semakin di iktiraf dan berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Negara ini telah memberi perhatian terhadap kepentingan faktor psikologi dalam meningkatkan pencapaian sukan dan kebajikan atlit sukan terjamin. Malahan Institut Sukan Negara telah membuat pengambilan yang ramai pakar dalam bidang psikologi sukan di Malaysia untuk berkhidmat di Institut Sukan Negara.
Sering kali, prestasi buruk dalam sukan adalah di kaitkan oleh faktor mental yang sama juga seperti dengan pertimbangan fizikal, teknikal atau taktikal. Sebarang permainan yang dibuat dan apa-apa aspirasi yang di miliki dan di tanam dalam minda oleh seorang atlet mungkin membawa kepada peningkatan dalam keupayaan mereka untuk beraksi.
Ahli psikologi sukan boleh membantu atlet dan jurulatih dalam meningkatkan stamina mental ketika bertanding atau semasa dalam Latihan . Latihan yang dilakukan dengan hati yang tulus akan membantu perkembangan prestasi atlet dalam mencapai kecemerlangan sukan.
Bagi membantu atlet mencapai matlamat dan mengimbangi kesihatan mental mereka, Psikologi Sukan ISN secara konsisten mengaplikasikan teknik-teknik kesihatan dan ketahanan mental yang telah dibangunkan daripada pengetahuan psikologi.
Melalui penggunaan latihan psikologi, atlet juga boleh di bantu dalam memperhalusi pilihan gaya hidup mereka sebagai atlet profesional dan diberi alat yang mereka perlukan untuk berjaya sebagai pesaing.
UTM
Sports Innovation Technologi Centre iaitu SITC di bawah Universiti Teknologi Malaysia telah membuat kolaborasi dalam kerjasama menjalankan bengkel bersiri psikologi sukan kepada atlet Muay Thai SUKMA iaitu beberapa atlet yang terpilih adalah bakal mewakili Negeri JOHOR di Sukma Sarawak 2024.
Dalam bengkel psikologi sukan tersebut terdapat beberapa aktiviti yang memberikan mereka semangat dan motivasi serta melatih atlet untuk berpandangan jauh dalam sukan yang mereka ceburi. Contohnya pada sesi pertama mereka telah diberikan borang kajian atau borang soal selidik. Borang penilaian yang telah siap dijawab diberi markah. Berdasarkan penilaian markah psikologi sukan, jurulatih dan pengurusan sukan dapat melihat prestasi atlet dalam ketahanan dan kekuatan mental.
Dalam beberapa bengkel sesi psikologi sukan itu juga mereka diberikan motivasi dalam bentuk video, kata- kata semangat serta cheers atau sorakan dalam kumpulan sebelum memasuki gelanggang. Motivasi ialah konsep utama dalam psikologi sukan yang merujuk kepada daya dalaman atau luaran yang mendorong seseorang untuk melibatkan diri dalam sukan, mencapai matlamat dan meningkatkan prestasi.
Motivasi memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tingkah laku, usaha dan kegigihan individu dalam mencapai prestasi sukan yang optimum. Dalam konteks psikologi sukan, motivasi boleh di bahagikan kepada dua jenis utama: motivasi intrinsik dan ekstrinsik.
Selain itu, atlet juga menjalani ujian ketahanan mental melalui aktiviti night walk, blind fold dan burung hantu. Mereka perlu melakukan ujian tersebut bagi melatih ketahanan mental dan kuasa minda mereka agar tidak mudah koyak atau putus asa di dalam pertandingan yang dianjurkan.
Latihan sebegini nampak seperti remeh akan tetapi memberi kesan dan impak yang besar kepada atlet yang berjaya melakukakn perkara tersebut buat pertama kali. Jika berjaya, tiada keraguan terhadap diri sendiri kerana mereka boleh lakukan ujian tersebut dengan baik sekaligus melahirkan atlet mempunyai ketahanan mental yang unggul.
Manfaat
Manfaat bagi program psikologi sukan ini ialah dapat membentuk sahsiah yang meliputi disiplin yang diterapkan semasa Latihan sukan oleh jurulatih. Antara lain pula ialah psikologi sukan dapat membantu meningkatkan pembentukan sahsiah dan semangat kesukanan. Pembentukan sahsiah ini meliputi disiplin yang diterapkan semasa latihan sukan oleh jurulatih.
Penerapan semangat kesukanan juga dilakukan melalui psikologi sukan dengan membiasakan diri atlet menghadapi situasi yang sering dihadapi semasa pertandingan. Antara situasi yang sering berlaku adalah seperti pergaduhan dalam padang, provokasi dalam sukan dan pelbagai lagi.
Selain itu, psikologi sukan dapat membentuk keharmonian dalam sesebuah pasukan. Keharmonian ini amat penting untuk mengekalkan keserasian hubungan di kalangan pemain dan jurulatih dalam sesebuah pasukan dan mengekalkan prestasi terbaik mereka.
Sebagai contoh, sebuah pasukan yang mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain akan dapat menunjukkan prestasi terbaik mereka, secara tidak langsung langsung dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi berkesan antara satu sama lain.
Situasi yang harmoni dalam sesebuah pasukan amat penting untuk meningkatkan motivasi mereka terutamanya apabila mengalami kekalahan dalam pertandingan. Hal ini dapat menjadikan hubungan antara pemain dalam sesebuah pasukan menjadi lebih akrab dan mempunyai misi yang sama untuk mencapai kemenangan dalam pertandingan.
Kesimpulan
Psikologi sukan mempunyai peranan yang sangat penting dalam menyokong prestasi atlet, mengurus aspek mental sukan, dan meningkatkan kualiti hidup individu yang terlibat dalam aktiviti fizikal. Dengan memberi tumpuan kepada membangunkan daya tahan mental, motivasi, pengurusan tekanan dan kerja berpasukan, psikologi sukan membantu mengatasi halangan mental yang boleh menjejaskan prestasi dan kepuasan dalam sukan.
Selain itu, penerapan prinsip psikologi dalam konteks sukan juga memberi impak positif kepada aspek kehidupan seharian, mewujudkan keseimbangan fizikal dan mental yang optimum. Justeru, psikologi sukan memainkan peranan penting dalam menginovasi penyelesaian masalah kehidupan.
Oleh: Nur Syamimi Najwa Binti Zainuddin dan Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip (Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM)