Mei 15, 2024

Search
Close this search box.

Sistem Pemeriksaan Kerosakan Bangunan (BDIS): Inovasi Penyelesaian Elak Tragedi Highland Towers Berulang

Tragedi Highland Towers bakal memasuki ulangtahun yang ke-30 pada Disember ini.  Kejadian menyayat hati yang berlaku pada 11 Disember 1993 lalu telah mencatat sejarah sebagai satu-satunya tragedi bangunan runtuh yang pertama dan terburuk semenjak Malaysia mencapai kemerdekaannya.

Seramai 48 orang terkorban dalam tragedi yang menyayat hati ini. Highland Towers merupakan tiga blok kondominium 12 tingkat yang terdiri daripada Blok 1, Blok 2 dan Blok 3 yang mana Blok 1 telah runtuh secara katastropik pada 1993 lalu. Manakala, penduduk yang mendiami Blok 2 dan Blok 3 telah diarahkan untuk berpindah bagi tujuan keselamatan.

Terdapat beberapa bencana yang berlaku di Malaysia berkaitan dengan kegagalan struktur seperti yang terjadi di Jambatan Kedua Pulau Pinang (Jun 2013), Stadium di Terengganu (Jun 2009), Pusat Membeli Belah Jaya, Petaling Jaya (Mei 2009) dan jeti Pulau Pinang (1988).

Deretan peristiwa yang berkait rapat dengan kegagalan struktur seperti ini boleh menyebabkan trauma kepada rakyat Malaysia dan juga menimbulkan ketidakyakinan kepada keselamatan meraka.  Peristiwa ini juga berpotensi menimbulkan persepsi negatif terhadap sektor pembinaan dan penyelenggaraan di Malaysia.

Sistem Pemeriksaan Kerosakan Bangunan (BDIS)

Secara ironinya, sesebuah bangunan yang dibina akan menghadapi kemerosotan kualiti justeru sifat semulajadi bahan-bahan yang digunakan di dalam pembinaan. Justeru, pemantauan berkala dan penyelenggaraan berterusan adalah kunci asas bagi penyelesaian kepada isu kemerosotan kualiti bangunan.

Isu kemerosotan kualiti bangunan bukanlah suatu perkara remeh dan boleh dilengahkan oleh pemilik atau pihak pengurusan bangunan. Tanda-tanda yang paling dominan dalam isu ini adalah seperti retakan dan rekahan pada struktur utama bangunan, mendapan struktur dan juga resapan air ke dalam bangunan. Ini jika tidak ditangani segera akan menyebabkan penduduk yang mendiami bangunan tersebut untuk merasa tidak selamat.

Retakan, rekahan, mendapan serta banyak lagi tanda-tanda dominan masalah struktur bangunan perlu ditangani segera bagi mengelakkan kerosakan yang lebih serius.  Pemantauan keadaan bangunan yang sistematik dan konsisten perlu dijalankan secara berkala dalam fasa pengoperasian bangunan. Justeru, Sistem Pemeriksaan Kerosakan Bangunan (BDIS) adalah penyelesaiannya apatah lagi dalam menyokong aspirasi Malaysia kearah kemampanan penggunaan teknologi dalam Pembinaan 4.0 bagi perancangan strategik 2021-2025.

Sistem BDIS yang dibangunkan oleh UTM

BDIS telah dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik UTM dari Kumpulan Penyelidikan Struktur Penilaian dan Kejuruteraan Forensik, Fakulti Kejuruteraan Awam pada tahun 2020 dengan diketuai oleh Ir. Dr. Noor Nabilah Sarbini untuk menjalankan kerja-kerja pemeriksaan bangunan yang lebih efektif selaras dengan Seksyen 85 (A) iaitu Pemeriksaan Bangunan Secara Berkala , Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Seksyen ini secara jelasnya memperuntukkan kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menjalankan pemeriksaan kepada bangunan yang dibina melebihi lima tingkat dalam tempoh sepuluh tahun dari tarikh mendudukinya dan seterusnya menentukan tahap selamat bangunan itu untuk diduduki.

Secara amnya, BDIS merupakan sebuah perisian yang berasaskan web (web-based) berfungsi secara dalam talian (online) bagi menilai status selamat bangunan melebihi lima tingkat yang berusia sepuluh tahun keatas.

Penggunaan BDIS secara tidak langsung dapat menentukan status selamat struktur bangunan ketika mana proses pemeriksaan dijalankan.

Semasa membangunkan BDIS, tumpuan diberikan kepada penanda aras berkaitan prestasi dengan mengambil kira keadaan semasa bangunan berdasarkan semua kriteria penting sebuah bangunan yang kukuh dan selamat untuk diduduki.

Sistem ini turut direka bentuk bagi menilai kitaran hayat bangunan. Ianya dibangunkan khusus untuk membantu pemeriksa bangunan dan pihak berkepentingan dalam menentukan keadaan semasa bangunan dan kos pembaikannya (jika diperlukan) serta mengesyorkan penyelesaian (pembaikan/peruntuhan) kepada masalah yang dihadapi (terutamanya jika berkaitan dengan struktur bangunan).

Bagaimana BDIS berfungsi

Jurutera yang memeriksa bangunan akan memasukkan butiran penting seperti jenis bangunan, jenis bahan yang digunakan dalam pembinaan, jenis kerangka yang digunakan dan juga pelbagai maklumat lain berkenaan dengan struktur binaan yang diperiksa.

Sistem BDIS ini juga akan menunjukkan kos kerosakan yang perlu dibelanjakan (jika perlu) dan juga status bangunan samada selamat diduduki ataupun tidak.  Dalam keadaan tertentu, pemeriksaan yang lebih terperinci mungkin diperlukan berdasarkan kepada keadaan semasa bangunan. Notis perobohan perlu dikeluarkan oleh PBT jika keadaan bangunan tidak lagi sesuai untuk diduduki.

Keperluan pasaran

Memandangkan banyak kejadian runtuhan yang disebabkan oleh kegagalan struktur bangunan, pasaran sangat memerlukan sistem seperti BDIS dalam memperkasakan kerja-kerja pemeriksaan struktur bangunan yang memerlukan pemantauan berkala dan penyelenggaraan berterusan.

Langkah awal yang telah dilaksanakan oleh kumpulan penyelidik ini adalah dengan menemui beberapa pihak berkuasa tempatan di serata Malaysia seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Banyak lagi pertemuan dirancang pada masa hadapan termasuk menemui Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan PBT yang lain.

Dengan menggunakan sistem ini, pemeriksa bangunan akan mendapat keputusan yang lebih cepat dan tepat seterusnya mengurangkan kesilapan dalam menganalisis dan menyimpan segala maklumat daripada pemeriksaan kecacatan bangunan.

Kerosakan/keretakan pada bahagian asas struktur bangunan.
Keretakan pada bahagian dinding bangunan.
Kerosakan serius pada bahagian kerangka utama bangunan. Kerosakan seperti ini berpotensi menyebabkan keruntuhan pada struktur binaan dan membahayakan nyawa penghuni bangunan berkenaan.
Ir. Dr. Noor Nabilah Sarbini mengukur struktur utama bangunan bagi memastikan struktur masih tegak setelah berlaku kerosakan pada kerangka utama.
Kondominium Highland Towers yang runtuh pada Disember 1993 lalu mencatat sejarah hitam dalam sejarah Malaysia dimana punca keruntuhan diakibatkan oleh struktur bangunan yang teruk terganggu.

 

Explore More