Julai 27, 2024

Search
Close this search box.

UTM prihatin anjur misi bantuan pembaikan rumah staf terbakar

JOHOR BAHRU, 10 Mei– Dalam usaha untuk memberikan bantuan kepada staf yang mengalami musibah, pasukan sukarelawan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dikenali sebagai UTM Prihatin, dengan kerjasama Pusat Islam, Jabatan Pendaftar, Kelab Kebajikan Mutiara, Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UTM Marshall dan Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTISAS), telah berganding bahu dalam misi bantuan pada hari Jumaat 10 Mei 2024. Mereka telah menyediakan bantuan dalam pembaikan rumah Encik Zukifli bin Juma’in di Taman Sri Skudai yang baru-baru ini mengalami kebakaran dan kemusnahan hampir 60%.

Kerja pembersihan kesan jelaga.

Dengan semangat kesukarelawanan, lebih dari 30 orang staf dari pelbagai jabatan telah menyertai misi ini. Mereka tidak hanya membawa bersama kecekalan fizikal, tetapi juga jiwa yang penuh kasih sayang untuk membantu individu yang memerlukan. Tugas-tugas pembaikan yang dilakukan termasuklah pendawaian eletrik, perpaipan, pengecatan, serta pertukangan. Menyuarakan kegembiraan dan terima kasihnya, Encik Zukifli Juma’in mengucapkan rasa syukurnya kepada pasukan sukarelawan yang telah memberikan bantuan yang begitu besar nilainya.

“Ketika rumah saya dilanda musibah, saya berasa sedih dan buntu. Namun, kehadiran pasukan UTM Prihatin bersama rakan-rakan staf membawa sinar harapan dan kelegaan kepada keluarga saya. Saya bersyukur kepada Allah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan UTM kerana mengirimkan bantuan kepada keluarga kami,” kata Encik Zukifli dengan penuh rasa terharu.

CAT DEPAN RUMAH
Kerja-kerja mengecat di hadapan rumah.

Puan Hartini Darsono, Ketua Bahagian Pengurusan Organisasi (BPO), turut menyatakan bahawa misi bantuan ini merupakan satu lagi contoh kejayaan kerjasama antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan persatuan dalam menyumbang kepada kebajikan bersama.

“Terima kasih kepada Pusat Islam UTM yang menyumbangkan dana bagi program ini. Ini bukan hanya tentang memberi bantuan fizikal kepada staf yang memerlukan, malah memberi sokongan moral dan kemesraan sesama kita. Kami berharap bahawa usaha ini dapat memberikan kelegaan dan kekuatan kepada Encik Zukifli dan keluarganya dalam mengatasi cabaran yang mereka hadapi,” katanya. Semoga usaha kebaikan ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai staf untuk turut serta dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, demi kemaslahatan bersama.

TAKLIMAT URUSETIA
Taklimat urusetia disampaikan oleh Encik Haironizam bin Mohamad


Disediakan oleh : Dr. Dina Azleema Mohamed Nor, Haironizam bin Mohamad

Explore More