Mei 14, 2024

Search
Close this search box.

Libatsama industri tingkatkan kefahaman pelajar dalam subjek Permodelan dan Rekabentuk Sistem Enterprise

JOHOR BAHRU, 17 Jul. – Program Sarjana Muda Komputer Sains (Kejuruteraan Data) telah menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan kerja (WBL-Work Based Learning) mulai September 2016. Di antara subjek dalam kurikulum tersebut ialah subjek Permodelan dan Rekabentuk Sistem Enterprise.

Subjek ini telah melaksanakan kesemua komponen pelepasan harian dalam kurikulum pembelajaran berasaskan kerja iaitu ceramah industri, lawatan ke industri dan juga membuat projek bersama pihak industri.

Pembentangan projek bersama INTEC pada 13 Julai 2023.

Kesemua pelajar tahun tiga terlibat dalam pembangunan dan pembentangan projek pada 13 Julai 2023 yang turut dinilai oleh pihak industri. Projek yang dibangunkan ialah gabungan penggunaan e-dagang, sistem pengurusan enterprise dan sistem pengurusan pelanggan.

Bagi tujuan tersebut, INTEC, sebuah syarikat yang terletak di Nusajaya telah dijadikan kajian kes untuk pelajar mendapat keperluan pengguna dan kemudian membangunkan sistem tersebut. Bagi mengukuhkan kefahaman pelajar mengenai sistem pengurusan enterprise di INTEC, sesi perkongsian telah diadakan pada 17 April 2023.

Sementara itu, lawatan telah dilakukan di ketiga-tiga kilang INTEC di Nusajaya. Pelajar didedahkan dengan penggunaan sistem berkomputer iaitu sistem pengurusan enterprise di kilang yang menggunakan proses pengilangan secara manual daripada pesanan pelanggan, proses pengesahan lukisan, proses pemotongan, pembungkusan dan lain-lain proses yang terlibat.

Setiap stesen terdapat satu komputer yang akan merekod dan mengemaskini proses di dalam sistem pengurusan enterprise. Manakala kilang yang ketiga adalah proses yang dilakukan sepenuhnya oleh mesin. Pekerja hanya menentukan setting tertentu di dalam mesin dan mesin akan memproses semuanya sehingga produk terakhir dihasilkan.

Di sini, penggunaan sistem pengurusan enterprise juga digunakan untuk merekod kesemua proses yang terlibat.

 

Ceramah oleh pihak INTEC di Fakulti Komputeran, UTM.
Lawatan ke INTEC pada 7 Mei 2023.

Dalam subjek ini, beberapa siri ceramah melibatkan pihak industri telah diadakan seperti Pittsburgh Plate Glass Company (PPG) pada 21 Mei 2023 dan Quandatics pada 13 Jun 2023.

PPG adalah syarikat yang mengeluarkan produk berkaitan dengan cat. Perkongsian oleh pihak PPG ialah berkenaan penggunaan Program Sistem Analisa (SAP-System Analysis Program) iaitu satu aplikasi perisian enterprise.

Selain itu, perkongsian bersama pihak Quandatics pula memfokuskan mengenai tadbir urus data (Data Governance). Quandatics ialah syarikat yang memberikan kemudahan untuk menganalisis dan keselamatan siber.

Libatsama bersama pihak industri dalam subjek Permodelan dan Rekabentuk Sistem Enterprise telah memberikan pendedahan kepada pelajar Sarjana Muda Komputer Sains (Kejuruteraan Data) bagaimana sistem berkomputer terutama sistem pengurusan enterprise dapat diaplikasikan untuk tujuan pengurusan data dan analisis sistem.

Oleh: Dr. Aryati Bakri

Beliau merupakan Pensyarah Kanan (Permodelan dan Rekabentuk Sistem Enterprise) di Fakulti Komputeran, UTM.

Explore More