Disember 22, 2024

Warga FSSH semarakkan program Ihya’ Ramadan, santuni pelajar dan staf yang memerlukan

Oleh: Hemnaarth A/L Tanakaran & Khairull Azmi Bin Ishak

JOHOR BAHRU, 17 Apr. – Bulan Ramadan  atau bulan penyucian diri amat dinanti-nanti oleh seluruh umat Muslim di seluruh dunia sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat  Allah SWT.

Sepanjang bulan  yang suci ini, umat Islam berusaha untuk memperbanyak ibadah dan amal kebaikan bagi menzahirkan syukur atas nikmat-Nya yang tak terhingga dan mengambil peluang berkongsi rezeki dengan semua terutamanya dengan golongan yang kurang bernasib baik bersempena bulan yang mulia ini.

Mendukung semangat itu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (FSSH UTM) terus meraikan tradisi tahunan fakulti dengan menganjurkan Program Ihya Ramadan FSSH 2023 buat tahun ketiga (3) berturut-turut.

Program ini dirancang khusus untuk staf dan pelajar FSSH serta staf dan pelajar UTM secara amnya bagi mengimarahkan bulan Ramadan.

Program Ihya Ramadan FSSH 2023 mengandungi 3 komponen program di dalamnya iaitu, Program Agihan Juadah Iftar Pelajar, Program Khatam Al-Quran dan Program Agihan Bubur Lambuk

Program Ihya Ramadan FSSH telah dimulakan dengan program agihan juadah iftar kepada para pelajar FSSH yang berada di kampus. Agihan ini telah diadakan pada 11 April 2023.

Sebanyak 1000 bungkus telah diagihkan kepada pelajar FSSH yamg mendiami di semua kolej kediaman di UTM. Makanan yang diagihkan ini ada hasil sumbangan staf FSSH dan UTM.

Program Khatam Al-Quran pula telah mula sejak awal Ramadan secara atas talian bagi memberi peluang kepada semua staf dan pelajar untuk turut serta.

Majlis kemuncaknya telah diadakan pada 13 April 2023 secara bersemuka di Bilik Seminar Sekolah Pendidikan dan ditayangkan secara langsung melalui laman Facebook FSSH UTM.

Pada majlis tersebut juga cenderamata penghargaan telah diberikan kepada para pembimbing bacaan Al-Quran, pengacara majlis serta ahli jawatankuasa yang telah terlibat dalam memastikan kelancaran program Ihya Ramadan FSSH 2023.

Melalui program khatam Al-Quran, setiap peserta diharapkan dapat membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk dan memahami makna dari setiap ayat yang dibacanya dengan bantuan pembimbing yang bertauliah. Program ini juga diharap dapat membantu memperdalam pemahaman tentang agama Islam serta memperkuat iman dan taqwa umat Muslim.

Bubur lambuk adalah hidangan khas dan popular yang sering disajikan pada bulan Ramadan. FSSH UTM juga mengambil peluang, melalui program Agihan Bubur Lambuk bagi memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada semua staf dan pelajar UTM.

Bubur lambuk ini telah dimasak serta disediakan secara rewang sepenuhnya oleh sukarelawan yang terdiri daripada staf PPP FSSH. Lebih kurang 800 bekas bubur lambuk diagihkan pada program ini yang telah berlangsung 16 April 2023.

Dalam menyemarakkan bulan Ramadan, program Ihya Ramadan FSSH 2023 menjadi salah satu cara bagi FSSH UTM untuk membantu staf serta pelajar menjalankan ibadah dan amal kebaikan.

Dengan mengikuti program ini, para peserta juga dapat merasakan kebersamaan dan keberkatan dalam menjalankan ibadah dan amal kebaikan sepanjang  bulan suci Ramadan.

Program Ihya Ramadan telah berlangsung dengan jayanya berpaksikan semangat ‘Keluarga FSSH Sejahtera’ dan berlandaskan tagline FSSH sendiri – MENDIDIK & MENGINSAN.

Explore More