Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 16 Mei – Seramai 105 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia telah menyertai Parlimen Mahasiswa UTM 2023 Sidang 1 yang telah berlangsung selama 2 hari bermula dari 5 hingga 6 Mei 2023.

Para perwakilan terdiri daripada barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Presiden Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM), Presiden organisasi-organisasi pelajar UTM dan pemerhati.

Buat julung kalinya  Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) telah diberikan amanah menguruskan  sidang kali ini. Tahun sebelumnya, Parlimen Mahasiswa diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Perubahan ini telah dilaksanakan sebagai satu langkah  menjamin integriti serta ke arah pemerkasaan mahasiswa selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi.

Menariknya, untuk sidang kali ini juga, penambahbaikan telah dilakukan dimana blok kerajaan (merangkumi barisan MPP dan JKM) dan pembangkang (Presiden organisasi-organisasi pelajar UTM) telah diwujudkan.

 

Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar (Bahagian Aktiviti & Pembangunan Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Azlan bin Abdul Latib yang merasmikan sidang Parlimen Mahasiswa ini berharap sidang ini merupakan wadah bagi mahasiswa-mahasiswa UTM melontarkan pandangan-pandangan serta persediaan sebagai pemimpin di masa hadapan.

Pada sesi persidangan ini, blok kerajaan telah membentangkan hala tuju, portfolio , takwim dan gerak kerja untuk tahun 2023.

Pihak kerajaan juga turut membentangkan Laporan Parlimen Mahasiswa 2022 serta agenda pemerkasaan mahasiswa dimana pada masa terdekat segala aktiviti dan kelulusan program pelajar akan diuruskan sepenuhnya oleh pelajar.

Sebanyak 13 pertanyaan lisan telah dikemukakan pada hari kedua persidangan merangkumi pengurusan aktiviti pelajar, ruang pelajar berpersatuan, pengurusan kewangan, aset dan fasiliti serta isu-isu kebajikan pelajar.

Sesi persidangan ini juga turut dihadiri oleh pemerhati dari Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknikal Melaka (UTeM). Sidang 2 Parlimen Mahasiswa UTM 2023 akan diadakan pada November 2023.

Explore More