Mei 13, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa UTM santuni anak yatim dan asnaf

JOHOR BAHRU, 18 Mac – Mahasiswa dari Kolej Tun Fatimah (KTF) dan Kolej Tun Razak (KTR) dari Universiti Teknologi Malaysia, telah menyantuni kanak-kanak dari kelompok anak yatim dan asnaf yang bertempatkan di Rumah Kebajikan Baitul Maghfirah, Jalan Bakar Batu, Taman Sentosa, Johor Bahru.

Program Jalinan Kasih ini melibatkan 25 orang anak yatim, dan 5 orang kakitangan rumah kebajikan. Barangan keperluan harian yang bernilai hampir RM1000 tersebut ditaja oleh Syarikat Faiza Sdn. Bhd., pihak Universiti Teknologi Malaysia dan juga sumbangan dari orang ramai yang prihatin.

 

Objektif utama program adalah untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam diri pelajar untuk terus berbakti dan menyumbang kepada masyarakat. Selain daripada itu memberi peluang kepada kanak-kanak mendapatkan serba sedikit bantuan dalam pembelajaran daripada pelajar universiti di samping menyuntik semangat dalam diri kanak-kanak yatim dan asnaf.

Program ini telah diketuai oleh saudari Ainor Sofia binti Abdul Kadir dan dibantu oleh 9 orang pelajar yang terdiri daripada 5 orang pelajar Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Tun Fatimah (JKM KTF) dan 4 orang Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Tun Razak (JKM KTR). Turut hadir memeriahkan program ini adalah Pengetua Kolej Tun Fatimah, Dr. Noor Mala Ibrahim dan juga barisan Felo Kolej Tun Fatimah.

Program ini bermula pada pukul lapan pagi dan berkahir pada pukul satu petang. Terdapat beberapa aktiviti telah dilakukan bersama anak-anak yatim dan asnaf iaitu menyusun puzzle, mewarna, memakai inai dan bermain kolam air.

Untuk setiap aktiviti, setiap ahli jawatankuasa terlebih dahulu diberikan pendedahan untuk memastikan mereka bersedia bagi memantau aktiviti yang dijalankan. Aktiviti dijalankan dalam kelompok kecil bagi meningkatkan keberkesanan proses aktiviti serta memudahkan pengawalan anak-anak.

Kesimpulannya Program Jalinan Kasih ini bukan hanya memberi peluang kepada pelajar Universiti untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan, malah anak-anak itu pula gembira dengan perkenalan dan interaksi bersama pelajar Universiti. Program ini juga bukan sahaja mensasarkan nilai positif dalam diri kanak-kanak tetapi juga kepada fasilitator dan ahli jawatankuasa.

 

 

 

 

 

Explore More