November 21, 2024

Search
Close this search box.

KTHO BMI Challenge beri kesedaran mahasiswa untuk kekal sihat dan aktif

Oleh: Loh Pooi Kee (ahli kelab KESIA) & Siti Nur Fatin Hakimah binti Ibnuzaman (penyunting)

JOHOR BAHRU, 4 Feb. – Program Minggu Kesihatan merupakan program anjuran Kelab Siswa Aktif
(KESIA) KTHO  yang telah berlangsung selama sebulan, bermula pada 29 Disember 2022. Program ini bertujuan untuk memupuk mahasiswa dalam mengamalkan gaya hidup serta tabiat pemakanan yang sihat supaya dapat mencapai indeks jisim badan (BMI) yang seimbang seterusnya mengekalkan berat badan bagi mengurangkan risiko pelbagai komplikasi kesihatan.

Program Minggu Kesihatan bermula dengan sesi taklimat BMI Challenge yang diadakan pada pukul 8 malam, 29 Disember 2022 melalui platform Cisco Webex. Sesi tersebut dimulakan dengan ucapan dari pengarah Program Minggu Kesihatan, Loh Pooi Kee. Dalam sesi tersebut, segala peraturan, garis masa serta pelan tindakan BMI Challenge telah dikongsikan kepada para peserta.

Pengarah Program Minggu Kesihatan, Loh Pooi Kee sedang memberikan ucapannya
Pengarah program menjelaskan peraturan BMI Challenge kepada para peserta

Pada 31 Disember 2022, berlangsungnya program webinar yang disampaikan oleh Dr. Mira Binti Panadi yang bertajuk “ Mindful eating: Achieve Healthy Weight Loss”. Webinar ini telah disampaikan secara atas talian dengan menggunakan platform Cisco Webex, bermula jam 10 pagi dan berakhir pada jam 12 tengah hari. Webinar ini bertujuan untuk menyampaikan ilmu kepada para peserta mengenai cara untuk menguruskan badan dengan efisien.

Antara pengisian di dalam webinar tersebut, Dr Mira ada menunjukkan statistik jumlah penghidap obesiti di Malaysia, jenis-jenis penyakit obesiti & penyakit kronik, cara-cara pengiraan BMI serta beberapa jenis diet yang diperkenalkan seperti keto, atkin dan vegan diet. Dr Mira juga ada memperkenalkan cara untuk menguruskan badan, iaitu dengan mengehadkan minuman manis serta elakkan dari mengambil minuman berkarbonat. Dr Mira juga ada menekankan bahawa tips yang paling utama adalah disiplin seseorang itu sendiri.

Seterusnya, Dr. Mira berkongsi tentang keperluan kalori bagi seseorang setiap hari. Di dalam slot ini, pengiraan Basal Metabolic Rate (BMR) telah dipaparkan yang mana pengiraan ini bertujuan untuk mengira keperluan kalori yang tertentu dan pengiraan kalori yang telah diambil oleh seseorang. Pengiraan ini telah didedahkan kepada para peserta melalui formula yang khusus serta beberapa laman sesawang yang sesuai untuk dijadikan sebagai rujukan turut dikongsi.

Perkongsian tentang pengiraan BMR
Perkongsian mengenai kesihatan

Dr. Mira yang mempunyai pengalamannya yang tersendiri turut menasihati para peserta supaya mengamalkan diet yang betul. Beliau berkongsi cara mengurangkan atau menambahkan berat badan. Perbandingan antara diet dengan bersukan dan diet dengan tidak bersukan menunjukkan sukan amat penting dalam pengamalan diet. Sesi QnA di antara Dr. Mira dan para peserta berlangsung dengan meriah kerana terdapat beberapa banyak soalan yang telah diajukan oleh peserta yang berminat untuk mengetahui tips lebih lanjut dalam usaha untuk mengekalkan diet yang seimbang.

Dr. Mira memberi rumusan berkenaan perkongsian yang telah disampaikan
Sesi bergambar antara Dr. Mira dan para peserta yang menyertai webinar

3 Februari 2023 merupakan majlis penutup program Minggu Kesihatan. Majlis penutup ini dimulakan dengan ucapan pengarah program Minggu Kesihatan, saudari Loh Pooi Kee. Selepas itu, majilis diteruskan dengan ucapan dari penasihat program Minggu Kesihatan, iaitu Dr Mira binti Panadi.

Ucapan majlis penutup program Minggu Kesihatan disampaikan oleh saudari Loh Pooi Kee
Dr Mira binti Panadi, penasihat program Minggu Kesihatan sedang memberikan ucapan beliau

Di dalam BMI Challenge ini, tiga peserta iaitu Ahmad Zaki bin Md Jais, Muhammad Aqil bin Ismail dan Thilagan A/L Isparan telah berjaya mencapai BMI yang normal dalam masa satu bulan. Melalui program yang bermakna ini, pihak penganjur amat berharap agar semua pelajar UTM serta penghuni KTHO dapat memahami kepentingan gaya hidup sihat walaupun sibuk dengan aktiviti akademik dan ko-kurikulum sendiri.

Explore More