November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 24 Nov – Sifat mahu mencapai kecemerlangan dalam pelajaran sememangnya telah ditanam di dalam dirinya sewaktu mula-mula mendaftar diri sebagai mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kira-kira empat tahun yang lalu.

Bagi pemenang Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hashim, Teo Mei Lian berkata beliau tidak pernah menjangkakan untuk membawa pulang salah satu anugerah akademik tertinggi universiti ini.

“Saya tidak pernah terfikir untuk membawa pulang salah satu anugerah akademik tertinggi universiti ini tetapi sentiasa menyimpan impian untuk menjadi yang terbaik dari segi pencapaian pelajaran dan juga aktiviti kokurikulum.

“Saya juga dimaklumkan bahawa anugerah ini diberikan berdasarkan kepada pencapaian akademik dan juga penglibatan kurikolum sepanjang seseorang itu bergelar mahasiswa dan saya amat terperanjat apabila dimaklumkan telah terpilih untuk anugerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu diwawancara media selepas sidang penganugerahan di Majlis Konvokesyen UTM (MKUTM) ke-66 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar pagi tadi.

Ditanya mengenai amalan hariannya sewaktu bergelar mahasiswa di UTM, Teo berkata beliau tidak mengamalkan sebarang teori tertentu berkaitan dengan mencapai kejayaan.

“Saya hanya tumpukan sepenuh perhatian sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan, buat dan hantar setiap tugasan yang diarahkan dan ulangkaji pelajaran setiap kali selepas habis kelas supaya dapat mengingat dengan jelas apa yang diajarkan.

“Di samping aktiviti pembelajaran dan pengajaran, saya juga terlibat dengan aktif dengan aktiviti kokurikulum di peringkat fakulti dan universiti seperti ‘UTM Green DNA’ dan ‘UTM International Buddies’,” katanya.

Menceritakan dengan lebih lanjut mengenai pencapaiannya, pemilik Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia ini berkata seseorang itu perlukan ‘sasaran’ di dalam kehidupannya.

“Apabila kita mempunyai sasaran dalam kehidupan, kita akan secara automatiknya bergerak untuk mencapai sasaran itu tanpa mengira ranjau yang bakal kita hadapi.

“Kita juga harus punyai pelan perancangan yang sistematik untuk mencapai kejayaan dan saya percaya sekiranya kita berusaha kita mampu untuk mencapainya,” ujar anak kelahiran Johor Bahru ini mengakhiri perbualannya.

Teo Mei Lian bergambar bersama pingat Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hashim yang diperolehinya kerana pencapaian cemerlang akademik dan kokurikulum sepanjang bergelar mahasiswa UTM.

Explore More