RAMADAN: Perjalanan Penetapan Semula Psikologi yang Membentuk Jiwa

SDGSDG3

📝 Ringkasan

Bulan Ramadan bukan sahaja tentang ibadah, tetapi juga merupakan “madrasah jiwa” yang menyusun semula emosi, tingkah laku, dan pemikiran kita. Melalui puasa, kita melatih kawalan diri, meningkatkan kepekaan rohani, dan memupuk empati terhadap orang lain. Transformasi psikologi ini bertujuan untuk kesinambungan amalan baik selepas Ramadan berakhir.

Bulan Ramadan sering dianggap sebagai bulan ibadah, bulan keampunan dan bulan yang menggandakan pahala. Namun melangkaui dimensi spiritual sedia ada, Ramadan juga merupakan sebuah “madrasah jiwa” yang sangat tersusun. Berpuasa, bukan lagi sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi satu proses penetapan semula terhadap emosi, tingkah laku dan pemikiran manusia.

Dalam disiplin psikologi, kesejahteraan insan sering dilihat melalui tiga komponen utama iaitu emosi, tingkah laku dan pemikiran. Ketiga-tiga elemen ini saling berkait dan mempengaruhi antara satu sama lain. Apa yang menarik, ibadah puasa menyentuh ketiga-tiga elemen ini secara langsung dan serentak. Justeru, Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, tetapi juga bulan transformasi dalaman yang menyeluruh.

Memupuk Disiplin dan Menguatkan Daya Tahan Diri
Secara asasnya, puasa melatih manusia untuk menangguhkan kepuasan (delayed gratification). Individu yang menahan diri daripada memenuhi keperluan fizikal asas seperti makan, minum dan keinginan tertentu dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Dalam konteks psikologi kawalan kendiri (self-regulation), berpuasa merupakan latihan intensif terhadap apa yang sering disebut sebagai ‘willpower muscle’ atau daya kawalan diri.

Kita sering mendengar rungutan tentang kesukaran mengekalkan konsistensi dalam melaksanakan azam atau perubahan diri. Namun hakikatnya, setiap hari dalam Ramadan membuktikan bahawa manusia sebenarnya memiliki kapasiti disiplin yang tinggi apabila digerakkan oleh niat dan kesedaran taqwa khususnya dalam menunaikan ibadah puasa. Niat yang jelas bertindak sebagai “pemacu dalaman”, manakala kesedaran bahawa ibadah ini diperhatikan oleh Allah SWT mengukuhkan lagi kawalan kendiri.

Disiplin ini bukan sekadar menahan lapar. Ia melatih individu mengawal reaksi, menahan kemarahan, menapis percakapan dan mengekang dorongan impulsif. Dalam jangka panjang, latihan berterusan selama 30 hari ini membina daya tahan psikologi yang lebih kukuh dalam menghadapi tekanan hidup.

Meningkatkan Kepekaan Rohani dan Kesedaran Kendiri
Apabila seseorang fokus kepada niat berpuasa dan konsisten dalam ibadah, tahap kesedaran kendiri (self-awareness) turut meningkat. Individu menjadi lebih peka terhadap keadaan emosinya sendiri, sama ada sedang marah, letih, gelisah atau tenang. Kepekaan ini penting kerana ia merupakan langkah pertama dalam pengurusan emosi yang sihat.

Sementara itu, Ramadan juga mengalihkan tumpuan daripada dunia material kepada dimensi spiritual. Dalam kesibukan rutin harian, manusia jarang merenung kembali untuk benar-benar mensyukuri nikmat asas seperti makanan dan minuman. Namun dalam keadaan lapar dan dahaga, nikmat yang selama ini dianggap biasa menjadi sesuatu yang amat berharga.

Amalan solat, zikir, doa dan tadarus al-Quran pula memberi ruang rehat kepada minda daripada tekanan rutin. Ia berfungsi seperti “detoks mental” yang dapat menenangkan sistem saraf dan membantu individu mencapai keadaan emosi yang lebih stabil. Tidak hairanlah ramai yang merasakan ketenangan luar biasa sepanjang bulan ini walaupun rutin harian berubah.

Membina Empati dan Mengukuhkan Tingkah Laku Prososial
Salah satu kesan psikologi yang paling ketara dalam bulan Ramadan ialah peningkatan empati. Apabila seseorang merasai lapar dan dahaga, wujud satu anjakan perspektif yang mendalam terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Empati bukan sekadar rasa simpati, tetapi keupayaan memahami dan merasai pengalaman orang lain.

Daripada empati ini lahir tingkah laku prososial, iaitu tindakan yang memberi manfaat kepada orang lain. Bulan Ramadan menyaksikan peningkatan aktiviti zakat, sedekah dan sumbangan kebajikan. Keinginan untuk ‘memberi’ menjadi lebih kuat kerana hati menjadi lebih mudah tersentuh.

Selain itu, budaya berbuka puasa bersama keluarga, rakan dan komuniti memperkukuh rasa kebersamaan. Hubungan sosial yang lebih erat seperti berbuka puasa bersama keluarga atau kenalan merupakan antara faktor utama dalam kesejahteraan psikologi. Apabila seseorang merasakan dirinya sebahagian daripada komuniti yang saling menyokong, tahap tekanan berkurang dan kepuasan hidup seterusnya meningkat.

Dalam kata lain, bulan Ramadan bukan sahaja memperbaiki hubungan manusia dengan Tuhan, tetapi juga memperhalusi hubungan sesama manusia.

Regulasi ‘Mood’ dan Peluang Meninggalkan Tabiat Negatif
Ramadan juga membuka ruang untuk menilai semula tabiat dan gaya hidup. Bagi sesetengah individu, ia menjadi peluang untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kafein, gula atau rokok. Walaupun gejala sindrom sarak (withdrawal syndrome) mungkin berlaku pada peringkat awal, kejayaan mengatasinya memberi kepuasan kendiri yang tinggi.

Dari sudut psikologi tingkah laku, kejayaan kecil ini meningkatkan efikasi kendiri, iaitu keyakinan seseorang berasa mampu untuk mengawal dan mengubah tingkah lakunya sendiri. Apabila keyakinan ini meningkat, individu lebih terdorong untuk melakukan perubahan positif yang lain.
Tambahan pula, fokus kepada ibadah dan kerohanian membantu mengalihkan perhatian daripada kebimbangan duniawi yang berlebihan. Ini secara tidak langsung membantu dalam regulasi mood, menjadikan seseorang lebih sabar, tenang dan berdaya tahan ketika berdepan cabaran.

Ruang Refleksi untuk Kesihatan Mental
Bagi individu yang bergelut dengan kemurungan atau kebimbangan, perubahan rutin sepanjang Ramadan mungkin mencabar. Namun pada masa yang sama, bulan ini menyediakan ruang refleksi dan pengurusan diri yang lebih tersusun. Puasa mengajar individu untuk tidak terlalu memaksa diri dan lebih peka terhadap had tenaga fizikal dan emosi.

Apabila tenaga terhad, seseorang cenderung memilih aktiviti yang benar-benar memberi makna dan manfaat. Proses pemilihan ini meningkatkan kesedaran terhadap keutamaan hidup. Disiplin yang dipelajari membantu individu agar memilih respons yang lebih sabar dan terkawal.

Dalam konteks ini, Ramadan bertindak sebagai program latihan intensif selama sebulan yang memupuk penguasaan diri, kesedaran emosi dan keseimbangan mental yang lebih baik.

Transformasi Berterusan
Secara keseluruhannya, puasa di bulan Ramadan boleh dilihat sebagai satu proses penetapan semula psikologi yang menyeluruh. Ia melatih manusia menguasai dorongan dan keinginan, meningkatkan kesedaran terhadap pemikiran dan emosi, memupuk empati serta mengukuhkan daya tahan menghadapi cabaran.
Namun matlamatnya bukan sekadar berkelakuan baik selama sebulan. Yang lebih penting ialah kesinambungan transformasi itu selepas Ramadan berakhir. Disiplin, empati dan hubungan rohani yang dipupuk seharusnya diterjemahkan dalam kehidupan seharian bagi bulan-bulan yang seterusnya.

 

Penulis ialah Pengarah Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling UTM dan merupakan Penulis Tamu bagi segmen pengisian Ramadan 2026.

Explore More

UTM Open Day