April 25, 2024

Search
Close this search box.

Sekolah Pendidikan UTM Rai Graduan Sulung Program ODL Sarjana Teknologi Pendidikan

Oleh: Dr. Nurul Farhana Jumaat dan PM Dr Noor Dayana Abd Halim

JOHOR BAHRU, 25 Nov. – Seramai 44 orang graduan tempatan dan luar negara telah diraikan sebagai graduan sulung program pengajian Sarjana iaitu Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan) secara mod Terbuka & Jarak Jauh (ODL).

Program ini ditawarkan oleh Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Para graduan telah  diraikan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia-66 (MK66) yang berlangsung dari 21 hingga 25 November 2022.

Inisiatif pembangunan program pengajian secara sepenuhnya dalam talian atau ODL di UTM ini sebenarnya telah bermula sejak tahun 2019 dan pengambilan kumpulan pertama atau kohort pertama telah bermula sejak bulan Februari 2020, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara lagi.

Penawaran program secara ODL ini mengambil kira akan keperluan pelajar pada masa kini, khususnya kepada pelajar yang bekerja, yang memerlukan pendekatan pembelajaran yang fleksibel, kondusif dan berpusatkan pelajar. Sehingga kini pengambilan pelajar bagi program ini telah melebihi 140 pelajar dari kohort 1 sehingga kohort 6.

Lebih membanggakan, pada MK66 ini seramai empat orang graduan dari kohort pertama dan kedua telah berjaya merangkul Anugerah Pascasiswazah Terbaik dan salah seorang daripada mereka iaitu Nur Farhana binti Mustahidin turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pro-Canselor atas pencapaian cemerlang beliau dalam bidang akademik.

Di samping itu, dua orang graduan dari program ini juga telah meraih Best Master Project Award.  Kejayaan-kejayaan ini sekaligus membuktikan bahawa program ODL ini juga mampu melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing.

Selain itu, Program ODL Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan) ini juga telah menerima akreditasi penuh dari MQA setelah dua tahun ia diperkenalkan. Program ini turut menjadi Johan dalam  Anugerah Khas YB Menteri Pengajian Tinggi: Rekabentuk Kurikulum Dan Penyampaian Inovatif Tahun 2022 (AKRI) bagi kategori Program Pengajian Inovatif.

Dalam pada itu, graduan turut diraikan dalam satu majlis yang dianjurkan khas bagi memberi peluang graduan bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan mahupun dengan pensyarah-pensyarah UTM.  Menurut Dr Nurul Farhana Jumaat yang merupakan penyelaras program ini, “Majlis ini sebenarnya istimewa kerana para graduan tidak pernah bersua muka dengan rakan sekelas mahupun dengan pensyarah sendiri kerana sepanjang tempoh pengajian, pembelajaran mereka adalah 100% dalam talian, ini bermakna kami di sini adalah bertemu untuk kali pertama,” kata Dr Farhana  setelah selesai majlis penghargaan semalam.

“Kami di Sekolah Pendidikan khususnya, berharap agar lebih ramai lagi di luar sana dapat menyertai program ODL ini di masa akan datang kerana kami akan menawarkan beberapa lagi Program ODL ini seperti Sarjana Pendidikan Matematik, Sarjana Pendidikan Fizik dan Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional bermula tahun hadapan,” kata Dr Farhana mengakhiri perbualan.

Graduan ODL Sarjana Teknologi Pendidikan yang di raikan di Majlis Penghargaan di Pulai Spring Resort. Gambar oleh Noorefendy Kassim.

Penerima Anugerah Best Student Award (Dari kiri : Mohd Faizal Human, Roshasfarizan Che Ghazali, Nur Farhana Mustahidin, Siti Hajar Abd Hamid). Gambar oleh Noorefendy Kassim.

Dua orang penerima Best Master Project Award (Abdullah Abdul Halim dan Nur Farhana Mustahidin). Gambar oleh Noorefendy Kassim.

 

Explore More