April 26, 2024

Search
Close this search box.

Oleh Dr. Muhammad Hariz Asraf, Sharel Raj Jonson Raju, Ts. ChM. Dr. Nor Suriani Sani, Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek dan Siti Nur Sakinah Ahmad

JOHOR BAHRU, 20 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia melalui Centre for Sustainable Nanomaterials (CSNano) dengan kerjasama Persatuan Zeolit Malaysia (MyZA) telah berkongsi kepakaran dan ilmu bagi menjayakan projek lestari Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini (SKTMR), Johor Bahru, Johor, pada 13 September 2022 yang lalu.

Program anjuran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) ini selaras dengan pemilihan SKTMR sebagai penerima dana berprestij daripada pihak MBIP untuk membangunkan projek lestari di peringkat sekolah.

Menurut En. Rozaiherman bin Md Aros, selaku guru yang bertanggungjawab menyelaras projek lestari, SKTMR menyambut baik pemilihan ini dan memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak CSNano dan MyZA melalui pemindahan kepakaran daripada kedu-dua institusi kepada warga sekolah.

Justeru, bagi merealisasikan inisiatif ini, delegasi CSNano dan MyZA, yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam bin Nik Malek, telah mengadakan Bengkel Lestari Penggunan Zeolit Sebagai Bahan Tambah Baja yang melibatkan 5 orang wakil guru dan 20 orang pelajar. Dalam bengkel ini, pemindahan ilmu melalui taklimat dan aktiviti praktikal telah dijalankan bagi memberikan pengetahuan dan gambaran realistik mengenai penggunaan zeolit tersebut kepada komuniti.

Zeolit yang merupakan bahan mineral semula jadi daripada gunung berapi dilihat dapat mengurangkan pelepasan baja ke dalam tanah yang seterusnya dapat mengurangkan pencemaran bahan kimia pada tanah sekitaran.

Program khidmat masyarakat ini merupakan kolaborasi yang julung kalinya diadakan antara CSNano, MyZA dan SKTMR. Program ini dilaksanakan selari dengan misi utama MyZA, iaitu untuk memperkenalkan zeolit ke seluruh Malaysia dan menyebar luas potensi zeolit dalam pelbagai kegunaan.

Ucapan aluan disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Nik Ahmad Nizam, Pengarah CSNano merangkap Pengerusi Persatuan Zeolit Malaysia.

Pengarah CSNano, UTM, yang juga merupakan Pengerusi MyZA, dalam ucapannya berhasrat agar zeolit dapat diguna pakai secara meluas kepada masyarakat seperti sekolah, pekebun-pekebun dan juga penternak-penternak kecil. Zeolit sangat sesuai digunakan sebagai bahan tambah baja kerana ianya berupaya untuk mengawal pelepasan nutrien yang terkandung dalam baja secara berlebihan ke dalam tanah. Oleh itu, ianya akan dapat mengurangkan pencemaran bahan kimia di dalam tanah seterusnya melestarikan penggunaan tanah dan pertanian.

Sesi demonstrasi bagi cara penanaman pokok dan pengediaan zeolit sebagai bahan tambah baja yang dilakukan oleh Ts. ChM. Dr. Nor Suriani Sani dan Dr. Muhammad Hariz Asraf.

Sesi praktikal yang dilakukan oleh pelajar-pelajar SK Taman Mutiara Rini.

Program lestari ini telah dijalankan secara berfasa dengan Fasa 1 adalah pemindahan ilmu cara penyediaan anak pokok melalui keratan batang serta penyediaan baja zeolit kepada pelajar dan guru-guru sekolah. Manakala pemantauan dan analisis tumbesaran pokok pula akan dilakukan pada Fasa 2 nanti bagi menilai sejauh mana kefahaman masyarakat terutamanya di sekolah mengenai kegunaan zeolit agar kegunaannya dalam kehidupan seharian dapat dimanfaatkan.

\

Sesi bergambar bersama bersama dengn pihak-pihak yang terlibat.

CSNano dan MyZA berhasrat agar program seperti ini dapat diteruskan dengan lebih meluas agar perkongsian berbentuk ilmiah dapat dipergiatkan selari dengan misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangun potensi komuniti bagi memenuhi aspirasi negara.

 

Dapatkan maklumat lanjut melalui:

Pautan video program : https://www.youtube.com/watch?v=zG1psR9RefM

Pautan Centre for Sustainable Nanomaterials (CSNano) : https://csnano.utm.my/

Pautan Persatuan Zeolit Malaysia (MyZA) : https://malaysiazeolite.wordpress.com/

 

Explore More