Mei 12, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 8 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengatur langkah strategik dalam memperkasa aktiviti keusahawanan dengan menyediakan tujuh buah inkubator yang terdiri daripada ruang pejabat kubikal (cubex), tiga bilik mesyuarat dan perbincangan serta fasiliti guna sama untuk dimanfaatkan warga universiti.

Pusat Inovasi dan Pengkomersilan Universiti Teknologi Malaysia (ICCUTM) menjadi peneraju dalam merealisasikan penyediaan inkubator yang dinamakan sebagai ICCubeX. Penyediaan Inkubator ICCubeX dilihat mampu menjadi tunjang dan tulang belakang dalam memastikan kegiatan keusahawanan terus berkembang di UTM, dengan tumpuan diberikan kepada penyelidik dan bakal pemilik syarikat hiliran UTM.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias berkata UTM sememangnya menyokong apa jua inisiatif dalam menggalakkan kegiatan keusahawanan, malah Inkubator ICCubeX dilihat mampu penjadi pencetus terutama dalam merealisasikan beberapa teras strategik enVision UTM 2025, iaitu melahirkan bakat holistik bertaraf dunia dan transformasi pengalaman hidup menerusi pemerkasaan ilmu pengetahuan.

“Antara teras yang dimaksudkan adalah aktiviti ‘Lab to Market’, latihan inovasi dan keusahawanan, dana pengkomersilan, galakan penubuhan syarikat hiliran UTM dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian Inkubator ICCubeX yang berlangsung di Bangunan Pentadbiran Utama ICCUTM pagi semalam.

Turut hadir adalah  Ahli Lembaga Pengarah, YBrs Puan Dzuleira Abu Bakar, Pengerusi Penyelidikan Bersekutu Komuniti Digital Pintar, YBrs Prof. Dr. Kamarulnizam Abu Bakar, Pengerusi Penyelidikan Bersekutu Bahan Keterhadapan, YBrs Prof. Ts. Dr. Mohd Hafiz Dzarfan Othman dan juga Pengarah ICCUTM, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad.

Menurut Prof. Rosli lagi, penyediaan inkubator ini merupakan elemen penting dalam menyediakan fasiliti kepada para penyelidik dan bakal pemilik syarikat hiliran UTM agar dapat merasai suasana dan pengalaman penyelidikan, pembangunan dan proses pemasaran produk.

“Bukan mudah untuk merealisasikan sesuatu tanpa bantuan semua pihak dan saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak dalaman UTM yang bersama-sama dalam menjayakan usaha merealisasikan kewujudan inkubator ini.

“Saya amat berharap Inkubator ICCubeX ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk kebaikan semua pihak terutama seluruh warga UTM,” katanya lagi.

Prof. Rosli kemudiannya menyertai pengurusan tertinggi ICCUTM mengiringi Ahli Lembaga Pengarah, YBrs Pn. Dzuleira Abu Bakar menandatangani plak pelancaran Inkubator ICCubeX di Lobi Bangunan Pentadbiran Utama ICCUTM.   Beliau juga kemudiannya mengiringi YBrs Pn. Dzuleira dalam sesi lawatan ke Inkubator serta mengambil kesempatan beramah mesra bersama dengan peserta ICCubeX.

YBrs Pn. Dzuleira Abu Bakar (kot hijau) menandatangani plak pelancaran inkubator ICCubex di Bangunan Pentadbiran Utama ICCUTM. Hadir mengiringi beliau adalah Pengarah ICCUTM, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad (paling kanan), Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr Rosli Md. Illias dan Pengerusi Penyelidikan Bersekutu Bahan Keterhadapan, YBrs Prof. Ts. Dr. Mohd Hafiz Dzarfan Othman (paling kiri).
Pengarah ICCUTM, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad (tengah) menunjukkan jalan masuk ke Inkubator ICCubeX di ICCUTM.
YBrs Pn. Dzuleira Abu Bakar beramah mesra dengan salah satu peserta program ICCubeX UTM yang telah menduduki salah satu inkubator yang disediakan.
YBrs Pn. Dzuleira Abu Bakar melawat ke salah satu inkubator yang disediakan.
Pn. Dzuleira Abu Bakar (tengah) melihat alat kawalan jauh yang dibangunkan penyelidik UTM dalam sesi pameran di ICCUTM sempena majlis pelancaran inkubator ICCubeX.

Explore More