Sempena meraikan sambutan Hari Wanita 2022, Perpustakaan UTM dengan kerjasama UTM Toastmasters Club, Persatuan Wanita Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (WANGI), Pusat Islam, Badan Kebajikan Staf (BAKES) dan Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kreatif dan Kritis (DEPIKIR) telah menganjurkan sebuah program pembudayaan ilmu secara dalam talian dengan menampilkan barisan panel wanita meliputi pelbagai bidang iaitu kerohanian, keusahawanan, kesihatan, sosial serta pembangunan wanita.
Program yang telah menampilkan barisan wanita yang mempunyai kepakaran dan kredibiliti dalam bidang masing-masing bagi berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman dan panduan sesuai dengan pemartabatan tema Hari Wanita pada tahun ini iaitu “Saksama Bersama”. Tema ini dipilih bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi meningkatkan potensi wanita. Tema ini juga selari dengan Tema Hari Wanita Antarabangsa iaitu Gender Equality Today for a Sustainable Tomorrow. Pemilihan tema ini telah pun disesuaikan dengan Konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara mampan dengan pengagihan ekonomi wanita secara adil, saksama dan inklusif.
Mendepani cabaran pandemik kini, Perpustakaan UTM telah mengambil langkah proaktif bagi menyemarakkan lagi program pembudayaan ilmu dengan menampilkan tujuh orang wanita melalui tujuh slot yang berbeza secara dalam talian melalui lantaian Facebook: Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia dan platfom Youtube: Perpustakaan UTM.
Panel-panel jemputan tersebut ialah Ustazah Hajah Rahmas Abdullah (Johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan) bersama pentadabbur, Dr. Naemah Hamzah (Penolong Pengarah Pusat Islam UTM JB) bagi slot pertama iaitu “Quran Time Khas Hari Wanita”. Slot kedua pula telah menampilkan Daie Nor Adibah Rozain (Juara Program Daie Pendakwah Milenia Musim 1) dalam perkongsian ilmu yang bertajuk “Kerohanian dalam Memperkasa Wanita”. Seterusnya, slot ketiga telah menampilkan PM Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali (Pengarah, Seksyen Hal Ehwal Korporat, Jabatan Canseleri UTM) dalam membincangkan aspek kerjaya dan keusahawanan melalui slot “Cipta Kelainan Wanita dan Kerjaya”.
Slot keempat pula membincangkan aspek literasi kesihatan dalam kalangan wanita oleh Dr. Atikah Abdul Razak, doktor perubatan dari Pusat Kesihatan UTM melalui slot “Wanita…Sayangi Dirimu”. Seterusnya slot kelima telah menampilkan Puan Enny Suhailis Suleiman, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Johor melalui perkongsian dalam aspek kesaksamaan wanita masa kini dengan tajuk “Hikmah Saksama Bersama”. Penampilan seorang pelajar wanita iaitu saudari Siti Nur Nadirah Yahaya, dari DEPIKIR telah menyemarakkan lagi sambutan Hari Wanita ini dengan suntikan pendeklamasian sajak khas buat wanita. Seterusnya pada 9 Mac 2022-pula, program ini telah menampilkan panel jemputan Dr. Asma Lailee Mohd Noor, Timbalan Pengarah, Pusat Islam UTM dalam membicarakan aspek kepimpinan wanita dengan tajuk “Bila Wanita Memimpin”. Slot terakhir pula membincangkan aspek sosial iaitu “Batas Pergaulan di Tempat Kerja” oleh Dr. Siti Suhaila Ihwani, Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, FSSH UTM.
Program pembudayaan ilmu sempena Sambutan Hari Wanita oleh Perpustakaan UTM ini diharapkan dapat memberi suntikan semangat kesaksamaan dalam kalangan wanita serta menyemarakkan lagi program pembudayaan ilmu bagi mendepani cabaran semasa sekaligus mengangkat martabat wanita selari dengan tema Sambutan Hari Wanita pada tahun ini.
Ditulis oleh : Syaza Soraya Sauli (Pelajar PhD Sekolah Pendidikan, Ahli UTM TMC) & Khairulbahiyah Yaakub, Liza Porijo (Perpustakaan UTM)