Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 28 Jan.– Anugerah Gemilang Mahasiswa 2021 (GEMA 2021) merupakan satu platform yang terbaik dalam menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa UTM dalam pelbagai kategori kepimpinan program pembangunan pelajar.

Ia juga sekali gus bertepatan dengan hasrat universiti menerusi keutamaan strategik UTM enVision 2025 iaitu untuk melahirkan bakat holistik yang berkualiti tinggi dalam kalangan mahasiswa.

Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) turut menjadi finalis dalam beberapa kategori, antaranya Anugerah Frontliner Terbaik (Berpasukan), Anugerah Pembangunan Pelajar (Kolej Kediaman) dan Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman.

KTHO memperoleh Anugerah Frontliner Terbaik (Kumpulan) menerusi Task Force Pengurusan Covid-19 KTHO.

Penantian warga KTHO untuk anugerah pertama GEMA 2021 akhirnya terlerai apabila KTHO diumumkan sebagai antara pemenang bagi Anugerah Frontliner Terbaik (Berpasukan) menerusi Task Force Pengurusan Covid-19 KTHO.

Anugerah ini sememangnya satu penghargaan dan pengiktirafan kepada barisan hadapan KTHO yang terdiri daripada Majlis Felow Merbauan (MAFAN) dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO), yang menghadapi tugas getir bermula dari 9 Mei hingga 19 Mei 2021, apabila KTHO merupakan antara kolej kediaman yang dikenakan perintah kuarantin (sekatan keluar masuk) disebabkan penularan kes-kes positif Covid-19 yang telah dikesan, disusuli pula pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula 21 Mei sehingga 3 Jun 2021.

Kepimpinan saudara Muhammad Haikal Othman terbukti apabila mendapat tempat ketiga dalam Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman.

Seterusnya, KTHO turut berjaya mendapat tempat ketiga bagi Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman, menerusi saudara Muhammad Haikal bin Othman, mantan Timbalan Pengerusi JKM KTHO sesi 2020/2021. Kepimpinan saudara Muhammad Haikal sememangnya terbukti terutama dengan penganjuran program Dapur KTHO Berasap 2021 (DESAP ’21).

DESAP ’21 merupakan sebuah program tanggungjawab sosial anjuran JKM KTHO dengan kerjasama ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd. Menerusi DESAP ’21, 500 mahasiswa B40 UTM telah disantuni dengan pemberian juadah iftar sekaligus mengurangkan beban perbelanjaan mereka dalam bulan Ramadan 2021.

KTHO mengekalkan reputasi antara kolej kediaman yang terbaik dalam aspek pembangunan pelajar dengan menggondol tempat kedua Anugerah Pembangunan Pelajar Kolej Kediaman.

Kecemerlangan KTHO dalam pembangunan pelajar kolej kediaman sekali lagi diiktiraf apabila berjaya menggondol tempat kedua bagi Anugerah Pembangunan Pelajar (Kolej Kediaman).

Walaupun berdepan kekangan dan keterbatasan dalam penganjuran aktiviti pembangunan pelajar terutama pada tahun 2021 disebabkan pandemik Covid-19, namun semua itu tetap tidak melunturkan semangat warga KTHO. Malah, program berimpak seperti KTHO Waste to Wealth Hub dan DESAP ’21 tetap mampu dianjurkan walaupun berdepan pelbagai cabaran dan rintangan.

Tiga anugerah yang diperoleh KTHO dalam GEMA 2021 menjadi memori manis buat warga KTHO yang telah bertungkus lumus sepanjang tahun 2021.

Tiga anugerah yang berjaya diperoleh KTHO dalam GEMA 2021 akan menjadi pencetus semangat buat warganya untuk tampil lebih cemerlang dalam GEMA 2022. Semoga tahun 2022 menjanjikan satu tahun yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang buat warga KTHO.

Disediakan oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Penyunting Penerbitan Media KTHO)

Explore More