April 27, 2024

Search
Close this search box.

Zuhayr Arif Zakaria Dilantik Pengerusi Baharu JK Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar

Pelajar tahun 4, Sarjana Muda Kejuruteraan (Awam), Zuhayr Arif Zakaria dilantik sebagai Pengerusi baharu Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) berkuatkuasa mulai 1 November 2021.

JPMPP yang sebelum ini dikenali sebagai Campus Election Committee (CEC) merupakan sebuah badan yang berfungsi mirip Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengendalikan pilihan raya kampus bagi memilih barisan MPP UTM Sesi 2021/2022.

Zuhayr Arif merupakan watak penting dalam CEC sesi lalu sebagai Timbalan Pengerusi (Aktiviti) selain terlibat dalam Persatuan Kejuruteraan Awam (PEKA) sebagai Ketua Pemasaran dan Informasi pada tahun 2019.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail telah menyempurnakan majlis penyampaian watikah lantikan kepada anggota Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) Sesi 2021/2022 pada 8 Disember 2021.

Selain Zuhayr, JPMPP turut diwakili oleh Ain Zulaikha binti Mohd Zaki (Naib Pengerusi), Mohamad Aizuddin Hafizi bin Hisham (Timbalan Pengerusi – Pengurusan), Nur Fatin Fareeza binti Ismail (Setiausaha Agung) dan Nur Atiqah binti Morshidi (Bendahari Kehormat).

Naib Canselor dalam amanatnya berkata universiti meletakkan sepenuh kepercayaan kepada barisan baharu JPMPP untuk melaksanakan pilihan raya yang telus, adil dan cekap.

“Antara elemen paling penting ialah semua anggota JPMPP perlu bersifat neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak,” tambah beliau.

Zuhayr menyifatkan pelantikannya sebagai Pengerusi didorong oleh rakan-rakan anggota JPMPP lain yang sangat komited.

“Saya juga mahu memastikan bahawa pilihanraya di UTM adalah sebagai salah satu platform untuk para pelajar memahami politik kampus.

Kami juga berazam memastikan bahawa peratusan keluar mengundi meningkat berbanding sesi sebelum ini,” ujar beliau lagi.

Seramai 45 orang pelajar telah dipilih menganggotai JPMPP melalui panel yang dipengerusikan oleh Pendaftar UTM, En. Abdul Razib bin Hj. Shahuddin.

Majlis yang bertempat di Ruang VIP, Pejabat Naib Canselor itu turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Azlan bin Abdul Latib dan En. Arman bin Md Yasin.

Explore More