April 19, 2024

Search
Close this search box.

Selaras dengan status Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai Universiti Penyelidikan yang sentiasa mendukung kerjasama dan penglibatan bersama pihak industri, kumpulan penyelidik Ubiquitous-Broadband Access Network (U-BAN), Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) menetapkan temujanji sebaik sahaja menerima pelawaan lawatan industri ke premis daripada Encik Ts. Meor Tawfik Amirrudin selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat VENTURA IOT Sdn Bhd (VENTURA).

Pada 2 Disember 2021, seramai lima orang ahli yang diketuai oleh Dr Rudzidatul Akmam Dziyauddin selaku Ketua Kumpulan Penyelidik U-BAN telah mengunjungi syarikat VENTURA yang beralamat di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

Kumpulan penyelidik ini telah disambut mesra oleh kakitangan syarikat VENTURA yang diketuai sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut. Syarikat VENTURA merupakan sebuah syarikat internasional milik tempatan yang berpangkalan di Malaysia. Syarikat ini mempunyai pasukan yang berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam industri Minyak & Gas serta Industri Am lebih daripada 20 tahun.

Syarikat VENTURA juga pakar dalam penyepaduan sistem (system integration) dan mempunyai pengetahuan dan pengalaman lebih daripada sembilan tahun berkaitan teknologi Penderiaan Fiber Optik (Fiber Optics Sensing).

Objektif utama lawatan industri ini adalah untuk menjalinkan hubungan kolaborasi dengan pihak industri terutamanya dalam penyelidikan. Pelbagai perkara telah dikongsi dan dibincangkan berkaitan peluang penyelidikan dalam menyelesaikan permasalahan di industri. Tidak ketinggalan juga, program-program akademik UTM khususnya di FTIR turut dikongsikan.

Lawatan dan perbincangan selama sehari telah memberikan hasil yang sangat positif di mana syarikat VENTURA berbesar hati membuka peluang-peluang penyelidikan termasuklah geran industri dan pembangunan modal insan. Syarikat VENTURA juga turut berhasrat untuk memeterai perjanjian kolaborasi secara rasmi bersama UTM. 

Kumpulan U-BAN sangat teruja dengan adanya peluang kolaborasi bersama Syarikat VENTURA dan akan terus mengorak langkah dalam mendukung kerjasama universiti-industri melalui kolaborasi dan jalinan industri ini.

Disediakan Oleh: Ts. Dr. Norliza Mohamed

Penulis Bersama: Dr. Rudzidatul Akmam Dziyauddin, PM. Dr. Robiah Ahmad, Ts. Dr. Norulhusna Ahmad, Dr. Hazilah Mad Kaidi

Explore More