Disember 26, 2024

JOHOR BAHRU, 18 Dis – Kesusahan bapa mencari rezeki bagi menyara keluarga menjadi kekuatan kepada seorang graduan Universiti Teknologi Malaysia, Selvarani a/p Kumar, 22, untuk berjaya dalam pengajian sekaligus memperolehi diploma.

Selvarani bersama 8,956 orang graduan lain telah menerima diploma dan ijazah masing-masing dalam Majlis Konvokesyen UTM (MKUTM) ke-64 yang berlangsung di kampus Johor Bahru bermula 11 November 2021 yang lalu.

Beliau yang pernah tinggal di sebuah ladang getah di Ca’ah, Segamat ini berkata ketika tinggal di sana ayahnya, Kumar keluar menoreh seawal jam 5 pagi hingga 1 tengah hari setiap hari bagi menyara kehidupannya sekeluarga.

“Ladang ini ditutup pada tahun 2005 dan ayah kehilangan pekerjaannya. 

Ingin mencari kehidupan baharu kami sekeluarga telah berpindah ke Taman Bersatu, Kulai dan tinggal di sana. 

Pada mulanya kami tinggal menyewa tetapi apabila ayah membeli rumah di taman sama tiga tahun kemudian barulah kami sekeluarga berpindah masuk ke kediaman sendiri.

“Pada tahun 2006 ayah memperolehi pekerjaan baharu di Singapura dan sepertimana di ladang dahulu, ayah keluar keluar untuk bekerja seawal jam tiga pagi,” katanya yang bergraduasi dengan Diploma Pengurusan Teknologi itu.

Selvarani berkata kesusahan hidup yang telah dilaluinya sejak zaman kanak-kanak mendorongnya untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi bagi membolehkan dia memperbaiki kualiti kehidupannya di masa hadapan.

“Ayah menjadi inspirasi dan contoh terbaik kepada saya dan dua lagi adik untuk berjaya dalam pelajaran sekaligus mengubah kehidupan masing-masing.

Beliau tidak pernah bersekolah dan seorang yang buta huruf.  Walaupun tidak berjaya dalam pelajarannya, ayah tidak pernah gagal dalam melaksanakan tanggungjawapnya sebagai ketua keluarga,” katanya lagi.

Bercerita mengenai kesusahan hidupnya, Selvarani berkata beliau melakukan pelbagai pekerjaan sambilan ketika cuti semester bagi meringankan beban ayahnya menyara keluarga dan memberi sedikit wang perbelanjaan kepada ibunya.

“Ibu hanya suri rumah sepenuh masa dan tiada punca pendapatan.  Ketika cuti semester, saya menjadi guru tuisyen sambilan dan mengajar murid sekolah rendah di taman perumahan tempat kami tinggal.

“Selain mengajar tuisyen sambilan, saya juga menerima tempahan untuk menghasilkan ‘doorgift’ untuk majlis perkahwinan dan hadiah harijadi bagi menambah pendapatan,” katanya yang masih lagi menjalankan aktiviti berkenaan sebagai punca pendapatan sampingannya.

Bercerita mengenai perancangan masa hadapannya, Selvarani bertekad untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat tertinggi iaitu Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan menjadi tenaga pengajar di UTM.

“Kami bukan berasal dari keluarga yang senang dan hanya dengan pelajaran sahaja yang mampu untuk mengubah kualiti kehidupan.

Kepada orang di luar sana pula berusahalah sebaik mungkin dan rebutlah segala peluang yang ada untuk memperbaiki diri.  Kejayaan tidak akan datang bergolek tetapi perlu untuk tempuh segala pancaroba untuk berjaya,” katanya memberikan pesanan.

Selvarani mengikuti pengajian diplomanya di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) milik yayasan itu melalui program kerjasama UTM-YPJ.

Explore More