Cinta dan cita-cita jadi resipi istimewa

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Pasangan suami isteri, Ahmad Anas Mohd Hairul dan Nuridayu Nabilah Zulkefli, berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah dengan Kepujian dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-70. Mereka juga meraih Anugerah Kecemerlangan Akademik. Pasangan berusia 25 tahun ini bertekad untuk membina kerjaya sebagai perancang bandar profesional dan menyumbang kepakaran kepada pembangunan negara.

JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Berkongsi minat dalam bidang yang sama, pasangan suami isteri, Ahmad Anas Mohd Hairul dan Nuridayu Nabilah Zulkefli, membuktikan cinta dan cita-cita mampu menjadi resipi kejayaan apabila kedua-duanya berjaya menggenggam ijazah serta meraih pengiktirafan akademik bersama.

Ahmad Anas dan Nuridayu bersama-sama menerima ijazah di Majlis Konvokesyen-70

Pasangan berusia 25 tahun yang berasal dari Johor itu mencipta kenangan manis pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-70 apabila masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah dengan Kepujian, selain turut meraih Anugerah Kecemerlangan Akademik.

Perjalanan akademik mereka bermula di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah apabila kedua-duanya mengikuti pengajian Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah sebelum meneruskan pengajian dalam bidang sama di UTM.

Berbekalkan ilmu, pengalaman kepimpinan dan pengiktirafan yang diraih sepanjang pengajian, pasangan itu bertekad untuk membina kerjaya sebagai perancang bandar profesional serta menyumbang kepakaran kepada pembangunan negara.

“Bagi saya, cinta dan cita-cita bukanlah dua perkara yang perlu dipilih, sebaliknya kedua-duanya menjadi pembakar semangat untuk terus berjaya. Saya sentiasa mahu memperbaiki diri, mencapai kejayaan dan menjadi insan yang lebih baik,” jelas Ahmad Anas.

Detik awal pengajian menuntut kebijaksanaan untuk menyesuaikan diri dengan cepat. Bidang Perancangan Bandar dan Wilayah memerlukan komitmen yang jitu, terutamanya dalam menyiapkan projek studio yang padat serta pelbagai tugasan teknikal. Menurut Ahmad Anas, cabaran utama tidak menghalang mereka untuk terus maju, sebaliknya, mereka saling membantu, mengulang kaji pelajaran, dan berbincang secara konstruktif bersama para pensyarah untuk menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat.

Selain cabaran akademik, aspek kewangan turut menjadi ujian berikutan perbelanjaan yang agak tinggi bagi perbelanjaan lawatan tapak dan percetakan bahan pembentangan. Bagi mengatasi kekangan ini, Ahmad Anas mengambil inisiatif berdikari dengan bekerja sambilan sebagai penghantar makanan Grab pada waktu lapang dan hari cuti.

Di samping kecemerlangan dalam bilik kuliah, pasangan ini turut menunjukkan bakat kepimpinan yang menonjol. Ahmad Anas pernah memegang amanah sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Perancangan Bandar dan Wilayah (PEWIBAWA) UTM sementara Nuridayu berkhidmat sebagai Bendahari.

 

Pembentangan Ahmad Anas sebagai wakil PEWIBAWA semasa sesi perkongsian (Program UTM-UNHAS) di Universiti Hasanuddin, Makassar Indonesia pada 21 Januari 2025

Sepanjang tempoh kepimpinan mereka, pelbagai acara berimpak tinggi seperti International Urban Planning Conference (INUPC) dan Exhibition Day berjaya dilaksanakan serta turut meraih pengiktirafan sebagai pembentang terbaik semasa persidangan tersebut.

Puan Ayu membentangkan hasil projek studio semasa sesi perkongsian (Program UTM-UNHAS) di Universiti Hasanuddin, Makassar Indonesia

Kejayaan pasangan ini turut ditunjangi dorongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa, serta tunjuk ajar para pensyarah, terutamanya penyelia beliau, Profesor Hairul Nizam.

Tempat ketiga The Young Mayor Competition Phuket, Thailand (Peringkat Antarabangsa) Tahun 2025

 

Mewakili Jabatan Perancang Bandar UTM dalam pertandingan bowling anjuran Malaysia Institute Of Planners (MIP) Tahun 2025

 

Pembentangan Pertandingan Layout Micro Planning Anjuran PLAN Malaysia (Peringkat Kebangsaan) Tahun 2024

 

Kejayaan bergraduasi bersama dari Fakulti Alam Bina & Ukur ini membuktikan bahawa gabungan iltizam, sokongan padu, dan pengurusan masa yang berkesan mampu membuahkan hasil yang amat membanggakan. Pasangan ini telah disatukan sebagai raja sehari pada September 2026, baru-baru ini.

“Saya mahu menjadi lelaki yang mampu membimbing, menyokong dan memberikan masa depan yang terjamin kepada pasangan saya. Kami percaya bahawa kejayaan bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi juga untuk membina kehidupan yang lebih baik bersama.”

 

 

 

 

 

 

Explore More

UTM Open Day