Tiga beradik bergraduasi bersama, hadiah istimewa buat ibu bapa

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Haziqah Naili, 26, dan dua adiknya, Mohamad Hadif Najmi, 24, dan Hadirah, 21, berjaya menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun yang sama. Haziqah yang bergraduasi dengan Ijazah Sarjana Kejuruteraan (Struktur) menerima Anugerah Dekan atas pencapaian akademiknya. Ibu bapa mereka, Puan Hasleena dan Encik Mohammad Hofni, merasa terharu dengan kejayaan anak-anak mereka.

JOHOR BAHRU, 18 Nov – Majlis konvokesyen kali ini menjadi kenangan istimewa buat Haziqah Naili, 26, apabila beliau bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana, malah berpeluang meraikan kejayaan tersebut bersama dua adik-beradiknya yang turut menamatkan pengajian pada tahun yang sama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau yang berasal dari Ipoh, Perak, merupakan graduan Ijazah Sarjana Kejuruteraan (Struktur) dan turut menerima Anugerah Dekan atas pencapaian akademiknya. Dua adiknya, Mohamad Hadif Najmi, 24, pula menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pembinaan Bangunan serta menerima pentauliahan PALAPES Darat, manakala Hadirah, 21, berjaya memperoleh Diploma Hartanah.

Keputusan Haziqah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana didorong oleh minatnya yang mendalam terhadap bidang akademik serta keinginan untuk terus menambah ilmu pengetahuan dalam bidang kejuruteraan. Beliau melihat peluang menyambung pengajian sebagai langkah untuk memperkukuh ilmu dan mempersiapkan diri bagi mencapai perancangan kerjayanya pada masa hadapan.

Kini, Haziqah berkhidmat sebagai Jurutera Air di AC Infinity Engineering Sdn. Bhd., Petaling Jaya. Walaupun telah memulakan kerjaya dalam bidang kejuruteraan, beliau turut menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) sebelum menceburi bidang akademik sebagai pensyarah bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dengan generasi pelajar akan datang.

Beliau juga berkongsi, antara cabaran terbesar yang dihadapi keluarga mereka ialah dari segi kewangan apabila ketiga-tiga beradik melanjutkan pengajian pada masa yang sama. Keadaan tersebut memerlukan ibu bapa menanggung perbelanjaan pendidikan yang lebih besar bagi memastikan setiap anak mendapat peluang untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

Selain berhadapan dengan kekangan kewangan, ketiga-tiga beradik juga perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan berjauhan daripada keluarga yang menetap di Ipoh, Perak. Keadaan tersebut mengajar mereka untuk lebih berdikari dalam menguruskan kehidupan seharian dan juga tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Haziqah bersyukur kerana sepanjang pengajian di peringkat sarjana, beliau berpeluang mengenali rakan-rakan yang banyak memberikan sokongan dan semangat. Hubungan persahabatan itu menjadi antara perkara yang menjadikan perjalanan pengajiannya lebih bermakna.

Haziqah Naili bersama rakan-rakan yang turut meraikan kejayaan menamatkan pengajian

Walaupun sibuk dengan penulisan penyelidikan, Haziqah tetap aktif dalam bidang sukan apabila berpeluang mewakili UTM dalam acara varsity track and field sepanjang tempoh pengajiannya.

Mengimbas kejayaan menamatkan pengajian bersama dua adiknya, Haziqah mengakui berasa sebak, bangga dan terharu menyelubungi dirinya apabila mereka akhirnya berjaya bergraduasi pada tahun yang sama. Baginya, pencapaian tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan buat mereka bertiga, malah merupakan hadiah istimewa kepada ibu bapa atas segala pengorbanan dan sokongan yang diberikan sepanjang pengajian mereka.

Beliau turut menyifatkan hubungan antara mereka bertiga sebagai sumber kekuatan sepanjang tempoh pengajian apabila masing-masing memainkan peranan sebagai sistem sokongan antara satu sama lain. Mereka sentiasa berkongsi pengalaman, memberikan kata-kata semangat dan saling membantu apabila berhadapan dengan kesukaran, sekali gus memastikan setiap daripada mereka terus berusaha sehingga berjaya mencapai matlamat akademik masing-masing.

Kejayaan ketiga-tiga beradik menamatkan pengajian pada tahun yang sama turut menjadi kebanggaan buat ibu bapa mereka, Puan Hasleena dan Encik Mohammad Hofni . Haziqah berkata, ibu bapanya berasa sangat terharu melihat pencapaian tersebut setelah sekian lama menyaksikan perjalanan pendidikan anak-anak mereka.

Haziqah Naili (dua dari kanan) bersama ibu bapa dan dua adiknya yang turut bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UTM ke-70

Selain ibu bapa dan adik-beradik, Haziqah turut menzahirkan penghargaan kepada neneknya, Puan Rohani, yang sentiasa mendoakan kejayaannya sejak kecil. Beliau menyifatkan keluarga sebagai antara sumber kekuatan yang mendorongnya untuk terus berusaha sehingga berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana.

Beliau turut menghargai bimbingan penyelianya, Ts. Dr. Chin Chee Loong, sepanjang tempoh pengajian sarjana. Bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan menjadi sebahagian daripada pengalaman pembelajaran yang membantu beliau menyelesaikan pengajian dengan jayanya.

Haziqah menasihatkan para pelajar agar tidak hanya mengejar pencapaian akademik, sebaliknya turut mengambil peluang untuk menimba pengalaman dan menguasai kemahiran sepanjang tempoh pengajian. Beliau turut mengingatkan pelajar supaya memahami setiap perkara yang dipelajari secara menyeluruh, bermula daripada asas sehingga proses pelaksanaannya, selain memperbanyak pembacaan untuk menambah ilmu pengetahuan.

Menurutnya, kemahiran dalam sesuatu bidang perlu diasah melalui latihan secara berulang kali. Beliau berharap para pelajar sentiasa berusaha memperbaiki diri dan tidak berhenti mempelajari perkara baharu sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Explore More

UTM Open Day