Disember 22, 2024

Disediakan Oleh: Dr. Mohd Bakri Bakar dan Pn. Hamidah Mat Arif

Fakulti Sains terus menerima pengiktirafan apabila dipilih sebagai johan Anugerah Penerbitan Universiti sempena Majlis Citra Karisma – Anugerah Kecemerlangan dan Penghargaan UTM 2021. Kejayaan ini merupakan hasil sinergi seluruh warga fakulti bagi mencapai tanda aras kecemerlangan sebagai Universiti Penyelidikan.

Sepanjang tahun 2020, Fakulti Sains telah merekodkan prestasi cemerlang terutamanya dalam penerbitan jurnal berindeks, sitasi penerbitan, penerbitan kertas polisi serta kerjasama penerbitan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

Peningkatan penerbitan dalam pelbagai kategori tersebut merangkumi bidang keutamaan Sains Asas dan aplikasi melibatkan Fizik, Kimia, Biosains dan Sains Matematik.

Menurut Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya ChM. Dr. Zaiton Abdul Majid, kejayaan ini memberikan motivasi tambahan kepada seluruh warga Fakulti untuk terus menyumbang dalam meningkatkan prestasi dan impak penyelidikan Universiti.

Malah menurut beliau lagi, pengiktirafan ini merupakan kesinambungan kepada pemilihan Fakulti sebagai finalis anugerah yang sama bagi tahun-tahun yang sebelumnya.

Bagi memenuhi keperluan untuk mendidik masyarakat dalam mendepani pandemik, Fakulti Sains turut mengusahakan penerbitan umum berkenaan COVID-19 yang diterbitkan oleh pelbagai media massa dan platform newshub UTM. Inisiatif ini merupakan usaha berterusan bagi memenuhi peranan Universiti sebagai pusat penyebaran ilmu.

Selaras dengan itu juga, Fakulti turut memberikan fokus kepada penerbitan berbentuk buku teks, buku rujukan dan buku popular. Bertepatan dengan penemuan ilmu sains baharu yang dapat diaplikasikan untuk pelbagai bidang kejuruteraan dan teknologi, Fakulti Sains turut bersinergi menyumbang kepada perkembangan penerbitan dalam tujahan bidang seperti alam sekitar, kejuruteraan kimia, tenaga dan bahan termaju.

Fakulti juga akan terus memastikan kelangsungan kecemerlangan penerbitan melalui medium bimbingan dan latihan mentor-mentee seperti program SUN (Science Unified Network) SHINE serta program bengkel penyelidikan Fakulti yang berkala.

Setinggi tahniah dan penghargaan diberikan kepada seluruh warga Fakulti Sains termasuk semua staf, penyelidik dan pelajar. Semoga kejayaan ini dapat dikekalkan pada tahun-tahun yang seterusnya.

Explore More