Disember 19, 2024

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa yang menjalani kuarantin di blok Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) dan Kolej Datin Seri Endon (KDSE) susulan PKP 3.0 dan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat ( PKPD ).

Segala aspek kebajikan ini seperti pembekalan makanan dan minuman, sesi kaunseling dan juga rawatan kesihatan sentiasa dipantau di bawah Inisiatif UTM Prihatin.

Penghuni KDSE, Ku Nor Airul Afizal Ku Riya berkata keperluan penting seperti makanan dan minuman dibekalkan dengan kekerapan tiga kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengahari dan juga makan malam.

Pengagihan makanan menurut Ku Nor Airul lagi dilakukan dengan tidak dihantar secara terus ke bilik penginapan tetapi diletakkan di tingkat bawah untuk diambil oleh wakil setiap aras.

“Petugas tidak menghantar bungkus makanan yang diedarkan secara terus ke bilik bagi menjamin keselamatan petugas ini dari risiko jangkitan memandangkan kami masih lagi dalam tempoh kuarantin.

“Walaubagaimanapun mereka tidak menjadikan ini sebagai satu alasan untuk tidak melaksanakan tugas dengan baik sebaliknya sentiasa berusaha untuk memastikan setiap seorang dari kami menerima makanan yang diedarkan,” ujar penuntut tahun empat jurusan Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautikal) ini.

Bagi Puteri Anisah Ahmad yang menetap di Kolej 9 berkata keadaan di tempat penginapannya tidak ketat sepertimana yang dipraktikkan di KDSE memandangkan kolej kediaman itu bukanlah blok kuarantin sebagaimana ketiga-tiga blok yang dinyatakan di atas.

“Bantuan makanan hanya diberikan sekali sehari iaitu di sebelah pagi.  Bagi hidangan tengah hari dan juga malam kami perlu ke arked-arked makanan sebagaimana hari biasa untuk makan.

“Walaubagaimanapun kami mengambil pendekatan berjaga-jaga dengan tidak kemana-mana tanpa tujuan walaupun diberikan kebebasan untuk bergerak ke serata kampus,” ujar penuntut tahun akhir Sarjana Muda Sains Sukan ini.

Sepanjang menjalani tempoh kuarantin, mahasiswa yang tinggal di KTHO, KDSI dan KDSE diberikan bantuan makanan sebanyak tiga kali sehari yang mula diagihkan pada 10 hingga 19 Mei 2021.

“Jenis bantuan merangkumi sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam dengan kadar RM15.00 sehari.

“Bantuan ini diberikan kepada semua mahasiswa yang menginap di tiga kolej ini termasuk pelajar berkeluarga yang menginap di tiga kolej kediaman ini dan juga pelajar yang menjalani kuarantin di Blok S46 dan S47 serta staf kolej termasuk pengetua, felo serta seluruh ahli keluarga mereka,” ujar Ku Nor Airul lagi.

Antara bantuan yang diperolehi oleh kesemua mahasiswa yang manjalani kuarantin di tiga blok di atas selain bantuan makan tiga kali sehari adalah Bantuan Makanan Hari Raya Aidilfitri.

“Penghuni tiga blok termasuk staf kolej juga diberikan kemudahan Klinik Bergerak (Mobile Clinic) berjadual pada setiap hari bagi memudahkan mereka mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan.

“Pihak universiti juga menyediakan perkhidmatan kaunseling dari Pusat Kaunseling UTM bagi memastikan tiada masalah tekanan perasaan yang berlebihan di samping perkhidmatan sanitasi di tempat terkena jangkitan di bangunan berkenaan,” katanya lagi.

Penghuni yang menjalani kuarantin juga diberikan bantuan barang keperluan harian dan juga sesi ‘engagement’ bersama dengan pihak pengurusan atasan universiti bagi memberikan sokongan moral dan juga perbincangan yang berterusan dengan pihak yang terkesan.

Ku Nor Airul Afizal Ku Riya, penghuni KDSE yang kini menjalani kuarantin di Blok S47.

Puteri Anisah Ahmad kini menjalani isolasi di Kolej 9. Walaupun tidak termasuk dalam kategori kuarantint ketat di ketiga kolej kediaman yang diletakkan dalam perhatian serius, beliau dan rakannya mengambil langkah berhati-hati.

Explore More