November 22, 2024

Search
Close this search box.

Ramadan Kareem.

Bulan Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam di serata dunia. Keberkatan, kerahmatan dan keampunan yang terdapat di dalamnya menjadi rebutan muslimin dan muslimat.

Pelbagai ibadah dan aktiviti dakwah ditingkatkan di dalam bulan yang mulia ini. Ini kerana ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah s.w.t kepada hambaNya.

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu” [Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)].

Sambutan tetamu agung ini oleh mahasiswa di kampus juga tidak kurang hebatnya.

Walaupun dunia pada masa ini dilanda ujian yang hebat dengan pandemik covid-19, namun pelbagai inisiatif dan pendekatan diambil oleh pihak universiti terutama warga kolej bagi memastikan pengisian dan amalan-amalan mulia di bulan Ramadan masih dapat diamalkan oleh pelajar-pelajar walaupun mereka berada di kampus.

Di kesempatan ini, warga kerja Kolej Datin Seri Endon( KDSE), telah menjalankan beberapa aktiviti untuk pengisian para pelajar.

Antara program yang dijalankan seperti siri webinar bersama penceramah dari dalam dan luar UTM, tadarus dan khatam Al-Quran secara dalam talian, KDSEtv dan sebagainya.

Program webinar yang dianjurkan ini juga dibuka kepada umum. Selain warga kampus, komuniti di luar juga sama-sama dapat mengikuti perkongsian oleh para penceramah jemputan di sepanjang bulan Ramadan.

Siri webinar ini juga, dipengerusikan oleh pelajar-pelajar di kolej yang merupakan pembantu felo dan jawatankuasa kolej mahasiswa, JKM KDSE. Di dalam siri webinar, penceramah jemputan iaitu Ustazah Nadwa binti Kasim, graduan Maahad Qiraat Al Azhar, Mansoura, Mesir memberikan pengisian bertajuk Ramadan dan Al-Quran.

Ustazah berkongsi mengenai ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan bulan Ramadan. Selain itu ustazah juga mengajar tajwid di dalam surah al-fatihah kerana pentingnya bacaan yang betul di dalam solat.

Surah Al-Qadr juga dikupas oleh ustazah kerana salah satu keistimewaan bulan Ramadan ialah malam lailatulqadar yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada hambaNya. Manakala Ustaz Amir Irsyad bin Saim, Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UTM berkongsi tentang Indahnya Ramadan.

Ustaz menceritakan mengenai keistimewaannya penghulu segala bulan. Amalan-amalan yang dipraktikkan di dalam bulan Ramadan dan juga amalan yang perlu dielakkan. Di samping itu, ustaz juga mengupas tentang kehebatan Al-Quran.

Webinar yang seterusnya pula bertajuk Audit Faraid. Ustaz Mohamad Fauzi Md Thahir Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah mengupas ilmu faraid beserta kepentingannya. Perkongsian ini lebih kepada membetulkan salah faham yang diamalkan oleh masyarakat kita mengenai ilmu faraid.

Selain siri webinar, pihak kolej juga menganjurkan program tadarus secara dalam talian. Para peserta yang terdiri daripada felo, pembantu felo dan warga kolej akan bertadarus secara dalam talian setelah selesai menunaikan solat terawih.

Program khatam Al-Quran juga dibuat secara dalam talian bagi meraikan para peserta yang telah berusaha menghabiskan 30 juzuk Al-Quran di dalam bulan Ramadan.

Walaupun pendekatan norma baharu yang digunakan, namun mereka dapat membuktikan bahawa ianya bukan penghalang untuk menyempurnakan bacaan ayat suci Al-Quran di bulan yang mulia ini.

Semangat dan keazaman di dalam diri peserta telah mendorong mereka mencapai objektif program ini.
Selari dengan pendigitalan pada masa ini, program bertajuk KDSEtv telah dianjurkan bagi memberi ruang kepada pelajar untuk menyampaikan tazkirah dan berkongsi amalan yang diamalkan di bulan yg mulia ini melalui media sosial kolej.

Antara perkongsian yang disampaikan ialah mengenai Golden Time Berdoa Ketika Ramadan, Mahram vs Ajnabi (Edisi Raya) dan sedekah aku untuk dunia atau kerana Allah. Setiap peserta terdiri daripada warga kolej KDSE dan mereka memberikan pengisian selama 5 minit sahaja.

Program ini bertujuan untuk membina keyakinan diri pelajar untuk berkongsi idea mereka di dalam media sosial dan juga melatih kemahiran komunikasi mereka.


Keistimewaan di dalam bulan Ramadan tidak harus dibiarkan berlalu walaupun kita tidak dapat bersemuka dan menjalankan aktiviti seperti biasa.

Pengamalan norma baharu telah membuka pelbagai inisiatif dan pendekatan yang boleh diamalkan untuk memastikan pengisian di dalam bulan Ramadan dapat diteruskan bukan sahaja untuk warga kolej malah untuk komuniti luar secara amnya.

Semoga segala usaha yang dijalankan dapat menjadi sebagai amalan soleh yang diterima di sisi Allah s.w.t.

Oleh:
Dr. Nabilah binti Kasim
Pengetua Kolej Datin Seri Endon

Dr Siti Pauliena Mohd Bohari

Explore More