UTM rai 400 pelajar antarabangsa sempena Aidilfitri

📝 Ringkasan

400 pelajar antarabangsa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diraikan sempena Aidilfitri melalui Kurniaan Jamuan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Majlis itu bertujuan menyantuni pelajar antarabangsa yang tidak dapat pulang ke negara masing-masing. Pelbagai juadah tradisional Aidilfitri disediakan hasil sumbangan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

JOHOR BAHRU, 21 Mac – Seramai 400 pelajar antarabangsa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diraikan dalam suasana cukup sederhana sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri melalui Kurniaan Jamuan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM.

Majlis yang berlangsung di Kediaman Rasmi Naib Canselor itu bertujuan menyantuni pelajar antarabangsa yang tidak dapat pulang ke negara masing-masing, sekali gus memberi mereka peluang merasai kehangatan sambutan Syawal dalam suasana kekeluargaan.

Pelajar antarabangsa UTM yang menerima kurniaan juadah raya hari ini.

Turut hadir ialah Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus; Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah serta Pengarah UTM International, Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan.

Pelbagai juadah tradisional Aidilfitri disediakan hasil sumbangan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), sekali gus mencerminkan keprihatinan berterusan institusi diraja terhadap kebajikan pelajar, khususnya golongan antarabangsa yang berada jauh dari keluarga.

Pengurus Komunikasi Korporat YRZSNJ, Dawson Yeang Wei Theng turut hadir ke majlis ini bagi sama-sama menyantuni para pelajar yang terlibat.

UTM terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pendidikan global apabila menempatkan lebih 5,000 pelajar antarabangsa dari pelbagai negara. Antara negara yang mencatatkan jumlah pelajar tertinggi ialah China, Sudan, Indonesia, Bangladesh dan Mesir.

Prof. Ts. Dr. Shafry dalam satu kenyataan berkata, sambutan Aidilfitri yang dianjurkan bukan sekadar perayaan, sebaliknya menjadi platform mempertemukan pelajar dari seluruh dunia dalam suasana harmoni dan penuh nilai kemanusiaan.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Shafry ketika berucap dalam majlis menyantuni para pelajar antarabangsa UTM pagi tadi.

Beliau berkata, pertemuan tersebut turut mencerminkan kepelbagaian latar belakang pelajar yang berkumpul dengan satu tujuan sama iaitu menimba ilmu dan membina masa depan di UTM.

Katanya, penganjuran majlis di Kediaman Rasmi Naib Canselor juga melambangkan keterbukaan dan komitmen universiti dalam memastikan setiap pelajar berasa dihargai serta menjadi sebahagian daripada komuniti kampus.

Senyuman terukir di wajah pelajar antarabangsa ini meskipun jauh dari keluarga di Hari Raya.

Pengurusan universiti turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor atas sumbangan yang diberikan, selain menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran majlis berkenaan.

Inisiatif itu sekali gus membuktikan bahawa aspek kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan universiti, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan graduan holistik dalam persekitaran pembelajaran yang inklusif.

Pelajar antarabangsa yang sudah berkeluarga turut sama diraikan dalam majlis ini.

Majlis berkenaan turut mencerminkan nilai teras UTM, “Kerana Tuhan Untuk Manusia”, yang menekankan kepentingan keikhlasan dan khidmat kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pelajar antarabangsa dan warga universiti, malah memperkukuh imej UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang prihatin, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

Explore More

UTM Open Day