Oleh: Azra Ayue Abdul Rahman dan Zulkifli Khair
Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan telah menganjurkan persidangan bertaraf antarabangsa pada 5-6 April 2021.
Konferens dikenali sebagai International Conference on Human Resource Development (ICHRD) 2021. SHARPS buat kali ketiga telah menganjurkan ICHRD dan kali ini ia diadakan secara maya atau dalam talian.
Jika pada konferens yang lalu, bilangan audiens yang menghadiri sesi ucaptama adalah sekitar 200 orang, namun pada kali ini, audiens yang hadir untuk sesi ucaptama mencecah sehingga 2000 orang sebagaimana dirujuk daripada FB dan Youtube.
Konferens disempurnakan perasmiannya oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, beserta sokongan padu Patron iaitu Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Profesor Dr. Zaidatun Tasir.
Gerak kerja seminar ini dipimpin oleh Pengerusi SHARPS, Profesor Madya Dr. Siti Aisyah Panatik dan Dr. Zulkifli Khair selaku Pengarah Program.
Ucaptama ICHRD telah disempurnakan oleh Pengarah Institute for Labour Market and Analysis (ILMIA), Puan Betty Hassan dan Encik Shazmi Ali yang merupakan Pengarah Sumber Manusia SHELL Malaysia.
Encik Shazmi Ali juga merupakan Profesor Adjung untuk Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM. Judul ucaptama beliau ialah “The Future of HR”.
Sementara Puan Betty Hassan dari ILMIA berkongsi pelbagai fakta termasuk kehilangan pekerjaan rakyat Malaysia sewaktu pandemik Covid-19 menerusi pembentangan “Labour Market Issues”.
Konferens ditandai dengan 74 kertas kerja, 66 pembentang kertas kerja dan 14 poster membabitkan penyertaan dari Malaysia, Arab Saudi, Indonesia dan Pakistan.
Isu-isu yang berkaitan dengan bidang Pembangunan Sumber Manusia dikupas dari pelbagai perspektif dalam konferens ini.
Anugerah Kertas Kerja Terbaik, Anugerah Pembentang Terbaik dan Anugerah Poster Terbaik turut diberikan kepada pembentang-pembentang yang berjaya.
Artikel terpilih akan diterbitkan ke 3 jurnal bersatus MyCite seperti Jurnal e-Bangi (Journal of Social Sciences and Humanities), Jurnal Kemanusiaan (UKM) dan Journal of Cognitive Sciences & Human Development (UNIMAS).
Semoga penganjuran konferens ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.