Majlis Penutupan Lambaian X-Tailor

UTM dan MERCY Malaysia Kolaborasi Anjur Webinar dan Bengkel Kesedaran Pandemik COVID-19

Menjadi tradisi buat julung kali, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor di bawah kelolaan Kelab Lambaian Masyarakat dengan kerjasama Centre for Real Estate Studies (CRES) dan MERCY Malaysia telah menganjurkan program ‘LambaianXTailor’ yang melibatkan seluruh mahasiswa di Malaysia terutamanya mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Program ini telah dianjurkan secara dalam talian rentetan daripada wabak pandemik COVID-19 yang mengehadkan pergerakan berkumpulan secara beramai-ramai dan larangan pergerakan yang melibatkan merentas negeri.

Program ini telah melaksanakan aktiviti bengkel secara dalam talian dan sesi webinar secara siaran langsung dan program ini telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada kalangan mahasiswa dari seluruh Malaysia tanpa mengira bangsa.

Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk memberi peluang kepada para mahasiswa untuk mempelajari kemahiran baharu dalam konteks jahitan iaitu membuat pelitup muka yang boleh digunapakai semula.

Program LambaianXTailor ini juga telah diadakan untuk menzahirkan sokongan serta penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang sentiasa berkorban masa dan tenaga demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia.

Sebagai kelab kesukarelawanan, program ini juga telah diadakan untuk memberi kesedaraan kepada mahasiwa tentang kepentingan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sekaligus memberi peluang kepada mahasiswa untuk turut serta berjuang bersama para NGO yang sering menghulurkan bantuan kepada golongan yang lebih memerlukan.

Program ini  disertai oleh 83 orang peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa program, pelajar mahasiswa UTM dan pelajar mahasiswa selain UTM.

Program ini telah berlangsung dari 1 Mac 2021 sehingga 3 Mac 2021 yang telah melibatkan 18 orang pelaksana program yang berkredibiliti tinggi kerana dapat menjayakan program ini dengan lancar.

Selama tempoh berprogram, dua sesi telah dilakukan dalam masa sehari pada 1 – 2 Mac 2021 iaitu pada waktu 9 pagi dan 9 malam dari. Manakala Majlis Penutupan Program telah diadakan pada 3 Mac 2021 dari 9 pagi sehingga 11 pagi.

Pada 1 Mac 2021, Bengkel ‘Mask in the Making’ telah dilaksanakan bermula jam 9 pagi. Bengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang bagaimana proses penghasilan pelitup muka dengan cara menjahit menggunakan tangan ataupun mesin jahit.

Bengkel ini telah diajar oleh Puan Chan Li Jin yang merupakan Ketua Pengurusan Sukarelawan dari pihak MERCY Malaysia dan sudi berkolaborasi bersama program kami.

Namun, material kain yang khas telah dipos kepada para peserta agar pelitup muka yang dijahit adalah mengikut piawaian standard perubatan pelitup muka yang telah ditetapkan bagi mencegah wabak Covid-19 dengan lebih efektif dalam kalangan masyarakat.

Material kain tersebut boleh dibasuh dan diguna semula dan ianya diberikan secara percuma oleh pihak MERCY Malaysia bagi membantu mempromosikan kepentingan kitar semula kepada orang awam.

Pada jam 9 malam, Cik Nur Fatiha Binti Shuib, iaitu Pengasas kepada 1Moment4Them telah dijemput sebagai speaker bagi sesi Live Webinar ‘Volunteer in Me’ (Bicara Kesukarelawanan).

Webinar ini telah menyuntik semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa melalui perkongsian beliau sepanjang kerjayanya sebagai sukarelawan yang bergiat aktif membantu golongan yang lebih memerlukan.

Diharapkan ianya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat dan mahasiswa terutamanya tentang kepentingan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam medan kesukarelawanan sekaligus memberi peluang kepada masyarakat untuk turut serta berjuang bersama para NGO memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Pada 2 Mac 2021, Bengkel ‘Crochet Mask Extender’ adalah bengkel mengait penghubung pelitup muka. Bengkel ini telah diajar oleh Puan Nik Zakiah Nik Ahmed Faried yang merupakan Pengasas kepada Nixz Kraf. Penghubung pelitup muka ini dapat memberi keselesaan kepada para pengguna pelitup muka terutamanya ia memudahkan para wanita berhijab memakai pelitup muka.

Bengkel mempelajari krusye ini telah menjadi punca  utama ramai peserta dari kalangan pelajar mahasiswi tertarik untuk menyertai bengkel ini.

Hal ini kerana bengkel ini menawarkan aktivti kemahiran yang berlainan dan ianya tidak pernah dilaksanakan oleh mana – mana program di UTM. Bengkel ini telah diadakan untuk memupuk kemahiran dan hobi baharu kepada para peserta dan ia dapat menambah ilmu serta menarik minat mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan aktiviti keusahawanan.

Pada jam 9 malam pula, sesi Live Webinar Swab Test: Behind the Scenes’ telah dilaksanakan secara siaran langsung di Youtube bersama Dr. Ahmad Syafiq Bin Ishak yang merupakan seorang doktor pegawai perubatan di sebuah klinik di Johor.

Penyertaan sesi webinar ini telah dibuka kepada orang ramai dan bertujuan untuk memberi pendedahan ilmu kepada para mahasiswa berkaitan pelaksanaan dan standard operasi ‘Swab Test’ serta isu – isu terkini berkaitan COVID-19 seperti isu vaksin yang semakin hangat dibincangkan oleh masyarakat di Malaysia.

Beliau menyatakan bahawa vaksin COVID-19 diberikan untuk mengawal penularan penyakit COVID-19. Vaksin disuntik  untuk menambah baik tahap antibodi di dalam badan.

Beliau menyarankan kepada seluruh masyarakat untuk mengambil suntikan vaksin bagi mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang lebih teruk dan secara tidak langsung ia boleh melindungi golongan yang lebih berisiko dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Akhirnya, Majlis Penutupan Program telah diadakan pada 3 Mac 2021 secara atas talian di Webex. Majlis ini telah dihadiri oleh Pengetua Kolej Tuanku Canselor, Prof. Ir. Dr. Sharul Kamal bin Abdul Rahim, Bekas Ketua Pengurusan Sukarelawan dari pihak MERCY Malaysia, Puan Chan Li Jin, Penasihat Program LambaianXTailor, Dr Fatin Afiqah binti Md. Azmi, Pembantu Felo Kolej Tuanku Canselor, Cik Nur Afifah binti Ahmad Ahyad, Ahli Jawatankuasa Program LambaianXTailor dan para peserta.

Majlis Penutupan Program telah dirasmikan oleh  Pengetua Kolej Tuanku Canselor.                                                                      

Tiga Pemenang Utama bagi Bengkel ‘Mask in the Making’ dan Bengkel ‘Crochet Mask Extender’ telah diumumkan di dalam tayangan video montaj dan program telah diakhiri dengan video apresiasi krew sebelum bersurai.

Program ini telah mendapat maklum balas yang amat baik dan memberangsangkan dari para peserta dan kami berharap agar program yang dilaksanakan oleh Kelab Lambaian Masyarakat pada masa hadapan senantiasa memberi manfaat dan informasi yang berguna kepada masyarakat di Malaysia.

Disediakan oleh: Fatin Afiqah Md. Azmi, Anis Maisarah Binti Ishak & Nurul Najiha Binti Sufian

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *