Disember 27, 2024

JOHOR BAHRU, 11 Mac – Sebanyak 27 kerusi Umum dan Fakulti bakal dipertandingkan dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi sesi 2020/2021 yang dijangka berlangsung pada 17 Mac 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihanraya Kampus (CEC) bagi UTM Johor Bahru, Jekan A/L Asokumaran berkata daripada jumlah itu, sebanyak tujuh Kerusi Umum dan 21 Kerusi Fakulti telah diperuntukkan kepada kampus Johor Bahru.

“Kampus Kuala Lumpur pula mempertandingkan sebanyak dua Kerusi Umum dan enam Kerusi Fakulti, jumlah yang sama seperti tahun sebelumnya,” katanya yang ditemui selepas Hari Penamaan Calon PRK UTM sesi 2020/2021.

Buat julung kalinya, Hari Penamaan Calon bagi PRK UTM 2020/2021 telah dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menggunakan platform Cisco Webex Meeting diselia oleh Campus Election Committee (CEC) UTM Sesi 2020/2021 yang berpusat di Dewan Banquet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru dan Dewan Tan Sri Aminuddin Wahid, UTM Kuala Lumpur.

Hari Penamaan Calon bagi PRK UTM telah diadakan pada 11 Mac 2021 bermula dari jam 9.00 pagi sehingga jam 2.00 petang.  Selain para calon, Pengurus Kawasan Pilihan Raya, Ketua Penyelaras Kawasan dan ahli CEC turut hadir dalam sesi ini.

“Pada PRK kali ini, jumlah kerusi yang dipertandingkan di kampus Johor Bahru bagi Kerusi Umum dan Kerusi Fakulti/Sekolah kekal seperti tahun sebelumnya dengan tujuh buah kerusi Umum dipertandingkan diikuti oleh 21 buah kerusi Fakulti.

Bagi Kerusi Fakulti pula, pecahan yang dipertandingkan adalah Fakulti Kejuruteraan (12 Kerusi), Fakulti Alam Bina dan Ukur (dua kerusi), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (tiga kerusi), Fakulti Sains (dua kerusi) dan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim atau AHIBS dengan peruntukan sebanyak dua kerusi,” katanya lagi.

Menurut Jekan lagi, kampus Kuala Lumpur juga mempertandingkan jumlah kerusi Umum dan Fakulti yang sama jumlahnya sepertimana tahun sebelumnya iaitu dua Kerusi Umum dan Enam Kerusi Fakulti.

“Bagi Kerusi Umum, jumlah kerusi yang dipertandingkan adalah sebanyak dua manakala jumlah Kerusi Fakulti/Sekolah adalah sebanyak enam kerusi dari empat buah fakulti iaitu Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dengan peruntukan kerusi sebanyak dua, Pusat Pengajian Diploma UTMSPACE (dua kerusi), Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) sebuah kerusi dan AHIBS Kuala Lumpur dengan peruntukan sebanyak sebuah kerusi,” katanya lagi.

Proses penamaan calon dimulakan dengan kemasukan calon bersama pencadang dan penyokong masing-masing ke Webex dan diteruskan dengan sesi bersama Pengurus Kawasan mengikut kerusi yang dipertandingkan iaitu Kerusi Umum atau Kerusi Fakulti/Sekolah.

“Setelah tamatnya sesi bersama Pengurus Kawasan, Hari Penamaan Calon diteruskan lagi dengan Pengumuman Calon Layak Bertanding yang dihadiri oleh Pengurus Kawasan atau wakil Pengurus Kawasan dan calon yang telah menghadiri sesi bersama Pengurus Kawasan.

Setiap Pengurus Kawasan bagi kesemua kerusi yang dipertandingkan mengumumkan jumlah borang pencalonan yang diterima dan nama-nama calon yang layak bertanding pada PRK UTM sesi 2020/2021 ini,” katanya lagi.

Menurut Jekan lagi, jumlah calon yang layak bertanding di kampus Johor Bahru bagi kerusi umum adalah sebanyak 11 orang calon dan jumlah keseluruhan calon kerusi fakulti/sekolah adalah sebanyak 31 orang calon manakala kampus Kuala Lumpur pula bagi kerusi umum adalah sebanyak dua calon yang menang tanpa bertanding dan jumlah keseluruhan calon fakulti/sekolah adalah sebanyak tujuh orang calon.

“Setelah tamat sesi pengumuman calon layak bertanding, setiap calon dikehendaki untuk menghadiri sesi taklimat calon oleh saya selaku CEC kampus Johor Bahru dan juga saudari Nurnatasha Eizreena Atiqah Abdullah selaku Naib CEC bagi calon Kuala Lumpur.

Seterusnya, calon-calon diberi peluang untuk menarik diri sebagai calon sepanjang berlangsungnya Tempoh Tarik Diri yang bermula dari jam 2.00 petang sehingga jam 3.00 petang,” katanya lagi.

Seramai 2 orang calon dari kampus Johor Bahru dan 2 orang calon dari kampus Kuala Lumpur telah menarik diri daripada bertanding dalam PRK kali ini. Penarikan ini diterima berdasarkan justifikasi yang diberikan oleh calon.

Setelah tamat tempoh tarik diri, sesi pada Hari Penamaan ini diteruskan lagi dengan Bantahan Calon yang bermula pada jam 3.00 petang sehingga jam 4.00 petang. Bantahan boleh dibuat melalui saluran yang disediakan pihak CEC.

Jumlah bantahan calon yang diterima pada sesi kali ini adalah sebanyak (1) bantahan sahaja yang telah ditolak hasil perbincangan dan keputusan Ahli Jawatankuasa Siasatan PRK UTM 2020/2021.

Pilihan Raya Kampus UTM akan diteruskan dengan Tempoh Berkempen bagi calon yang layak bertanding bermula 12 Mac 2021 sehingga 16 Mac 2021.

Maklumat lanjut serta pautan video calon berkempen boleh didapati di laman sosial Facebook rasmi CEC, https://www.facebook.com/cecutm2019/

Pengerusi CEC UTM Johor Bahru, Jekan Asokumaran (berdiri) memberikan arahan kepada Ahli Jawatankuasa CEC UTM ketika hari penamaan calon.
Jawatankuasa Pilihanraya Kampus (CEC) UTM ketika menguruskan Hari Penamaan Calon di Dewan Banquet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, kampus Johor Bahru.

Explore More