Disember 28, 2024

JOHOR BAHRU, 23 Dis – Satu majlis bagi memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Universitas Indonesia (UI) telah diadakan secara dalam talian hari ini bagi meningkatkan kerjasama dalam lapangan penyelidikan dan pembelajaran bidang sains dan kejuruteraan.

Memorandum yang ditandatangani ini juga bagi meneruskan kerjasama yang telah sedia terjalin antara kedua belah pihak sejak 2014.

Majlis telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) kampus Johor Bahru.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail ketika mengulas mengenai kerjasama ini berkata kolaborasi universiti ini dengan Indonesia telah dimulai ketika UTM masih bernama Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) pada awal tahun 70-an di mana ketika itu kebanyakan tenaga pengajar UTM didatangkan dari Indonesia.

“Hubungan dalam bidang pendidikan antara Indonesia dan Malaysia telah berlangsung sejak ketika pemerintah republik itu menghantar guru-gurunya ke Malaysia dalam ‘Project Malay Culture’ pada zaman pemerintahan Presiden Soeharto pada tahun 70-an.

Projek ini sangat berkesan dalam memperbaiki hubungan baik antara kedua negara yang merosot ketika konfrontasi pada tahun 1963-1966.  

Sejarah juga telah merekodkan bahawa penghantaran guru-guru Indonesia ke Malaysia dari tahun 1969 hingga 1990-an bukan sahaja melibatkan di peringkat sekolah mahalah juga di peringkat pengajian tinggi,” katanya lagi.

Setelah MoU fasa pertama ditandatangani pada tahun 2014, kedua belah pihak telah bersetuju untuk bekerjasama dengan lebih erat dalam penyelidikan dan pembangunan, meningkatkan program pertukaran staf dan mahasiswa, menjalankan penyeldikan bersama, menyelia projek pelajar, program kerjasama seminar, kolokium dan perbincangan akademik.

“Sejak 2008, UTM dan UI aktif mengadakan persidangan bersama dalam bidang termofluid melalui program ‘The International Meeting on Advances in Thermofluids’ atau IMAT yang pertama kali diadakan di UTM Johor Bahru dan terakhir di Bali, Indonesia pada tahun 2018.

Perbincangan juga telah diadakan antara Institut Ibnu Sina dengan Fakultas Kesehatan Masyarakat UI bagi membincangkan kerjasama dalam bidang ‘Big Data Analytic’ dan atas sebab ini MoU antara dua pihak ini perlu untuk disambung semula agar kerjasama ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya lagi.

Turut hadir adalah Pro-Naib Canselor (Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Mohd Ismid Md Said, Pengerusi ‘Resource Sustainability Research Alliance’ , Prof. Ir. Dr Haslenda Hashim, Pengarah Institut Saintifik Ibnu Sina, Prof. Dr Hadi Nur dan Pengarah UTM Big Data Centre, Prof. Madya Dr Azlan Mohd Zain.

MoU itu telah ditandatangani oleh Prof. Ahmad Fauzi yang juga menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor mewakili UTM manakala UI diwakili oleh Timbalan Rektor (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. rer. nat. Abdul Haris serta disaksikan oleh Setiausaha UI, Dr Agustin Kusumayati.

Prof. Ahmad Fauzi Ismail (tiga kanan) selepas majlis menandatangani MoU dengan Universitas Indonesia (UI). Majlis ini juga berfungsi sebagai kesinambungan kepada MoU yang ditandatangani pada 2014 bagi meneruskan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta pengajaran dan pembelajaran dalam bidang sains dan kejuruteraan antara dua institusi.

Explore More