November 22, 2024

Search
Close this search box.

Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) 2020/2021 mencatat sejarah tersendiri melalui pelaksanaanya secara dalam talian sepenuhnya akibat pandemik COVID-19. Jumlah krew yang terlibat juga paling sedikit sepanjang sejarah penganjurannya. Semua pelajar baharu mengikuti semua slot MMM kali ini secara langsung melalui FB live yang dikendalikan di Studio Rakaman UTMLead, kampus UTM Johor Bahru pada 11 hingga 14 Oktober 2020 lalu.

Selain memperoleh kemahiran baru menguruskan pengendalian acara di studio, satu lagi ‘hikmah’ yang terserlah adalah kemunculan para moderator ‘norma baharu’ berbakat besar.

Tidak dapat disangkal lagi, moderator memainkan peranan paling penting dalam setiap slot MMM yang ditayangkan secara langsung melalui FB live. Mereka sentiasa mengambil bahagian aktif dalam perbincangan dan sentiasa berada dalam ‘topik’ bagi memastikan semua penonton mengikutinya tanpa ‘berkelip mata’.

Memilih topik untuk perbincangan, menawarkan pautan, memberi nasihat dan membuat perbincangan lebih menarik merupakan antara peranan moderator.

Berbeza dengan sesi forum atau taklimat secara bersemuka, ternyata pengendalian acara secara dalam talian lebih sukar kerana para penceramah dan moderator sendiri tidak dapat melihat reaksi penonton. Jika bahasa tubuh dan riak muka penonton dapat dilihat dengan jelas dalam sesi bersemuka, reaksi penonton di sesi FB live hanya dapat digambarkan melalui ‘emoticon’, tanda ‘like’ dan soalan-soalan di ruangan komen.

Justeru di sinilah perlunya semua moderator memanfaatkan segala bakat dan kelebihan yang ada selain membuat ‘kerja rumah’ lebih awal untuk pengendalian yang terbaik.

Muhamad Akmal Aliff Shah Eran mengendalikan sesi ‘Engagement Bersama Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail’

Antara yang menyerlah ialah Muhamad Akmal Aliff Shah Eran, pelajar Sarjana Muda Kejuteraan Awam yang juga anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Anak  kedua dari lima beradik kelahiran Port Dickson ini cemerlang mengendalikan sesi ‘Engagement Bersama Naib Canselor’ sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.

Berpengalaman mengacarakan pelbagai  program sebagai speaker dan ‘host’ di peringkat sekolah,daerah, negeri dan kebangsaan, Akmal juga boleh berbahasa Korea.

Sesi bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) bertajuk ‘Being an Active Student in the New Normal’ menampilkan Veronica Chen Jia Yee (kiri) sebagai moderator
Veronica ketika menyumbang pingat taekwondo dalam Pesta Sukan MASUM 2018 di Universiti Malaysia Kelantan

Sesi bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) bertajuk ‘Being an Active Student in the New Normal’ dikendalikan oleh Veronica Chen Jia Yee. Anak kedua dari tiga beradik ini berkata ia merupakan pengalaman pertama beliau sebagai moderator dan pengalaman sebelum ini hanya sebagai juruacara majlis. Lebih menarik lagi Veronica juga cemerlang di gelanggang taekwando serta pernah menyumbang pingat kepada UTM ketika Pesta Sukan MASUM 2018 di Universiti Malaysia Kelantan.

Aksi bersahaja Muhammad Hazwan Hakim Haznan di hadapan kamera

Penampilan seorang lagi moderator, Muhammad Hazwan Hakim Haznan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Bahan) turut mencuri tumpuan penonton sepanjang MMM kali ini. Hadir dengan pakej lengkap persis seorang pengacara televisyen, Hazwan banyak menimba ilmu mengacarakan pelbagai majlis ketika bersekolah di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Anak sulung dari lima beradik ini juga merupakan Ketua Pelajar ketika berada di tingkatan 5 maka tidak hairanlah beliau kelihatan begitu bersahaja berbicara di hadapan kamera.

 

Explore More