KUALA LUMPUR, 19 Mac – Seramai 60 orang mahasiswa yang di Kolej Luar Kampus, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Kuala Lumpur telah menerima sumbangan makanan yang ditaja oleh Yayasan Raja Zarith Negeri Johor.
Set makan malam ini telah diedarkan kepada sekumpulan 60 orang mahasiswa yang menyewa berhampiran dengan kampus UTM Kuala Lumpur (UTMKL).
Sumbangan ini bersekali dengan 300 lagi pek makanan yang telah turut diedarkan ke pelajar yang menginap di Kolej Siswa Jaya.
Pengetua Kolej Luar, Dr Azlan Suhot berkata penerima bantuan ini adalah terdiri dari mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing susulan dari Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuatkasa dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi menangani masalah jangkitan virus Covid-19.
Sumbangan tersebut telah diedarkan bermula dari jam 5.30 petang ke kediaman pelajar seperti di Gurney Height, Residensi UTMKL, Seasons Garden dan lain-lain.
Menurut Dr Azlan, pelajar-pelajar mengucapkan ribuan terimakasih kepada YM Tuanku Canselor kerana dapat meringankan beban pelajar yang terpaksa membeli makanan di kedai-kedai yang berharga mahal berbanding dengan makanan di kampus yang boleh dibeli sebelum arahan kawalan pergerakan.
“Dengan sumbangan ini juga para pelajar dapat merasai keprihatinan pihak pengurusan tertinggi UTM.
Rata-rata mereka menyatakan tiada sebarang permasalahan kerana mereka telah pun membeli keperluan sebelum arahan kawalan pergerakan,” tambah Dr Azlan.
Selain itu Dr Azlan juga menasihati semua pelajar agar menjaga kesihatan diri dan mematuhu arahan dari kerajaan seperti social distancing dan lain-lain.
“Sepanjang tempoh larangan pergerakan ini, pelajar tidak perlu risau kerana pengetua dan felo akan bertugas 24 jam setiap hari untuk kebajikan dan keselamatan pelajar UTM yang menyewa di luar kampus,” tambah beliau.