November 3, 2024

Search
Close this search box.

Konsortium AIMS4STAR (Consortium Of Academia Industry Government Society For Synergetic Transformation) telah digarapkan di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersandarkan kepada konsep Quadruple Helix.

Hasil dari garapan ini maka konsortium ini telah dilancarkan penubuhannya pada 2019 oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Negeri Johor, YB Tn. Hj. Aminolhuda Hj. Hassan.

Prof Dr Haslenda bt Hashim

Di bawah konsortium yang bernaung di bawah Jabatan TNCPI, satu ‘Task Force’ telah diwujudkan dan diketuai oleh Pengerusi Penyelidikan Bersekutu UTM Kelestarian Sumber, Prof Dr Haslenda bt Hashim bagi merangka strategi perlaksanaan dan hala tuju Konsortium yang mana proses pengurusan keseluruhan adalah di bawah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM.

Prof. Madya Dr. Johari Surif

Menurut Pengarah CCIN, Prof. Madya Dr. Johari Surif, ekosistem konsortium AIMS4STAR adalah terdiri dari gabungan empat entiti iaitu Akademia (UTM), Industri, Kerajaan dan juga Komuniti.

Jalinan gabungan ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan masalah setempat, industri dan negara dan ianya merupakan sebagai sebahagian dari usaha Universiti bagi memperkasakan konsep Universiti untuk Masyarakat.

“Konsortium ini mampu untuk memberikan penyelesaian masalah yang lebih inovatif hasil garapan penyelesaian masalah dari kumpulan pakar serta mewujudkan ‘lubuk ilmu’ bagi memberikan impak yang lebih efektif dalam memberikan ‘jalan keluar’ kepada kekusutan yang melanda industri dan masyarakat negara ini.

Konsortium ini juga boleh dikatakan sebagai model kerjasama yang bersifat ‘menang-menang’ kepada semua pemegang taruh dengan matlamat untuk menyokong dan merealisasikan pembangunan mampan dan matlamat kemakmuran bersama di peringkat kebangsaan dan global,” katanya lagi.

Melalui Jawatankuasa ‘Task Force’ yang diwujudkan, fokus penubuhan konsortium ini adalah meletakkan keutamaannya kepada menawarkan penyelesaian masalah berdasarkan kehendak industri dan komuniti (industry dan community driven) yang lebih inovatif untuk faedah industri dan masyarakat Malaysia berdasarkan kepada 5 projek projek perintis yang mana ianya akan berteraskan kepada lima bidang utama iaitu Bahan Terkehadapan (Frontier Materials), Kejuruteraan Inovatif (Innovative Engineering), Komuniti Digital Pintar (Smart Digital Community), Kesihatan dan Kesejahteraan (Health and Wellness) dan Kelestarian Sumber (Resource Sustainability).

Konsortium seumpama ini telah berjaya memberikan impak ekonomi yang memberangsangkan di negara maju seperti Denmark, US dan sebagainya. Berkenaan faedah konsortium ini, Dr. Johari menjelaskan bahawa setiap pemegang taruh akan mendapat faedah melalui kaedah gabungan inovatif ini.

“Bagi masyarakat, mereka akan menikmati lebih banyak peluang pekerjaan dan juga akses kepada pendidikan dan juga penjagaan kesihatan.
Rakyat juga berpeluang untuk merasai impak sosioekonomi yang tinggi selain peluang untuk mendapat faedah dari pemindahan teknologi.

Melalui kerjasama inovatif ini juga bakal memperlihatkan pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang terlibat dapat menikmati keuntungan seperti pulangan cukai, perbelanjaan secara berhemah dan juga Pelaburan Secara Langsung (FDI) dari pelabur asing yang bakal bekerjasama di bawah konsortium ini, “ katanya lagi.

Bagi pihak Industri, selain dari memberi dana bagi projek penyelidikan yang bakal dilaksanakan, “Pihak industri akan menikmati keistimewaan-keistimewaan seperti pengurangan cukai berganda (Double Tax Reduction) selain berpeluang untuk memiliki hakmilik harta intelektual (IP) terhadap konsep dan juga produk yang terhasil melalui kepakaran UTM.

UTM merupakan universiti pertama yang melancarkan konsortium yang memfokuskan kepada penglibatan 4 entiti dan ianya dilihat mempunyai persamaan dengan rangka I-Connect yang dibangunkan di bawah MESTECC.

Manfaat AIMS4STAR yang boleh digarap melalui usaha ini antaranya Pertukaran Kepakaran (Knowledge Transfer), generasi yang berpengetahuan (Knowledge Generation), Pembangunan Bakat (Talent Development), Penerbitan dan juga pembiayaan penyelidikan melalui geran yang dikeluarkan oleh pihak industri dan kerajaan.

“Dalam memberikan sokongan yang efektif untuk urus tadbir yang lebih mantap, UTMCCIN telah diberikan mandat dan akan berperanan sebagai sekretariat yang menjalankan beberapa fungsi seperti Komunikasi Korporat, Pemasaran, Pengurusan Kewangan dan juga pentadbiran kepada konsortium ini.

Bagi yang ingin mengetahui lebih berkenaan fokus utama AIMS4STAR, warga UTM, warga industri dan warga komuniti yang berkenaan boleh mengunjungi pejabat UTMCCIN yang terletak di Taman Tropika, kampus UTM Johor Bahru,” katanya lagi sebelum mengakhiri perbualan.

Lima teras utama yang menjadi fokus utama AIMS4STAR dalam menawarkan penyelesaian masalah berdasarkan kehendak industri dan komuniti

Explore More