Artikel disediakan oleh Dr. Noorfajri Ismail

JOHOR BAHRU, 8 Sept – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima lawatan seramai 120 orang pelajar dan 12 orang guru dari Pusat Tingkatan Enam SMK Taman Johor Jaya 1, bagi menjayakan program berbentuk lawatan ilmiah yang dinamakan Program Jalinan ‘Aim High’.

Program yang julung kalinya ini merupakan salah satu inisiatif di bawah anjakan ke-9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) untuk melonjakkan kecemerlangan pelajar menerusi penglibatan komuniti dalam jaringan pendidikan iaitu hubungan kerjasama antara sekolah dengan organisasi seperti IPTA, IPTS, Badan Korporat, Badan Berkanun dan NGO.

Program ini dianjurkan secara bersama antara Building Information Centre (BIC), FABU UTM bersama Persatuan Tingkatan Enam (PERTINA) Pusat Tingkatan Enam SMK Taman Johor Jaya 1.

Program ini turut dihadiri oleh Pengetua Pusat Tingkatan Enam SMK Taman Johor Jaya 1 iaitu Tuan Haji Mohamed Salleh bin Zainal Abidin, Yang DiPertua PIBG, Encik Khairil Anwar bin Bainamin dan Sr. Dr. Zuhaili bin Mohamad Ramly, Penolong Dekan (Hubungan Luar dan Global) FABU bersama Dr. Syamsul Hendra bin Mahmud, Pengarah BIC serta barisan pentadbir dan pihak pengurusan dari kedua-dua belah pihak.

Objektif penganjuran program ini dicetuskan untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 terhadap jurusan pengajian yang ditawarkan di universiti khususnya UTM dan peluang kerjaya yang begitu luas pada masa hadapan dengan lebih mendalam.

Di samping itu juga, program ini bertujuan memberi gambaran dan motivasi kepada pelajar-pelajar tentang kehidupan dan pembelajaran di alam universiti yang sememangnya berbeza dengan persekitaran pembelajaran di tingkatan enam pada masa sekarang.

Seramai 120 orang pelajar yang menyertai program ini terdiri daripada 13 orang pelajar Semester 1 dan 107 orang pelajar Semester 3, iaitu 49% daripada aliran sains dan 51% daripada aliran sains sosial.

Program sehari ini cukup padat dengan pelbagai pengisian yang bermakna buat para pelajar yang meliputi aktiviti Ceramah Jurusan Pengajian dan Peluang Kerjaya, Sesi Suaikenal dan Perbincangan Dalam Kumpulan, Rangkaian Kasih bersama Alumni, lawatan ilmiah ke Fakulti Alam Bina dan Ukur, Perpustakaan Raja Zarith Sofea serta Perpustakaan Sultanah Zanariah dan diakhiri dengan Demonstrasi GPS dan Dron daripada pihak FABU.