Disember 27, 2024

JOHOR BAHRU, 23 Jun  — Sekumpulan penyelidik dan tenaga pengajar dari Sekolah Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mencipta evolusi dalam bidang pembinaan dengan membangunkan panel konkrit ringan.

Panel konkrit ringan yang dinamakan sebagai Eco-Lightweight Concrete Panel telah dibangunkan oleh lapan orang penyelidik dari UTM, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Perunding Teknik Padu Sdn Bhd (PTP) dan juga Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM) dan diketuai oleh Dr. Nor Hasanah Abdul Shukor Lim.

Dr. Nor Hasanah berkata tujuan utama beliau dan rakan-rakannya membangunkan teknologi konkrit ringan ini adalah kerana ingin menyumbang kepada penjimatan kos dalam industri pembinaan di samping menyumbang kepada kelestarian alam sekitar melalui kaedah kitar semula.

“Antara kebaikan bahan ini adalah ini dibina berasaskan sisa buangan arang batu dari Stesen Janakuasa di Tanjung Bin, Johor yang terdiri dari Debuan Dasar Arang Batu (Bottom Ash Coal) dan juga Debuan Terbang (Coal Fly Ash).

“Selain bersifat ringan dan juga tahan lasak, produk ini juga cara terbaru untuk mengitar semula bahan buangan arang batu dan mengekalkan kelestarian alam semula jadi,” katanya.

Dr. Nor Hasanah juga menegaskan bahawa di samping mempraktikkan penggunaan sisa arang batu secara optimum bagi mengelakkan pencemaran udara, konkrit ringan ini juga sebenarnya telah membantu dalam ‘menyelamatkan’ batuan granit di kuari-kuari yang kian susut bilangannya.

Dr. Nor Hasanah Abdul Shukor Lim.

“Komposisi bancuhan adalah sama dengan konkrit konvensional cuma bezanya konkrit ringan ini tidak menggunakan batu granit dan juga pasir dalam bancuhannya.

“Nisbah bancuhan bagi konkrit biasa adalah 60 hingga 75 peratus batuan granit (batu yang digali di kuari-kuari di sekitar negara ini), 14 hingga 21 peratus air, tujuh hingga 15 peratus simen dan juga lapan peratus udara,” katanya.

Menurutnya lagi, penggunaan pasir yang banyak dalam penghasilan konkrit konvensional juga berpotensi untuk menyumbang kepada pencemaran alam kerana jumlah pasir yang banyak harus dilombong secara besar-besaran dari dasar sungai.

Menyentuh mengenai aspek positif yang bakal diperolehi melalui penggunaan konkrit jenis ini, Dr. Nor Hasanah menyarankan agar bahan binaan ini digunakan secara meluas kerana aspek-aspek positif yang ada pada inovasi binaan ini.

“Saya amatlah menyarankan kepada pihak berwajib seperti kerajaan negeri dan pusat serta pihak berkuasa yang berkait rapat dengan perancangan perumahan seperti Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Tidak terkecuali juga kepada kerajaan-kerajaan negeri terutamanya kerajaan Negeri Johor adalah amat digalakkan untuk mencuba inovasi ini yang ringan dan dapat mengurangkan kos pembinaan memandangkan penggunaan kren yang minima,” katanya lagi.

Selain itu, jumlah pekerja juga dapat dikurangkan memandangkan kontraktor tidak memerlukan ramai kakitangan untuk membina rumah akibat daripada kepingan konkrit yang tidak begitu berat dan mudah diangkat dengan kekuatan yang minima.

“Konkrit jenis ini juga bersifat lebih sejuk dan berfungsi sebagai penebat bunyi yang baik serta amat sesuai untuk digunakan bagi membina rumah ‘pasang-siap’ yang harganya lebih rendah berbanding kaedah binaan konvensional yang bersifat binaan struktur bertetulang dengan kos sedia ada yang tinggi sekaligus menjadikan aset tersebut amat sukar dimiliki,” katanya.

Kepingan konkrit amat sesuai digunakan untuk membina rumah kos rendah dengan kaedah ‘Pasang-Siap’ memandangkan ia lebih ringan daripada konkrit konvensional disamping mengurangkan kos projek tersebut.
Timbunan bahan buangan Debuan Dasar Arang Batu (Bottom Ash Coal) yang digunakan dalam pembuatan Eco Lighweight Concrete Panel yang berjaya dibangunkan oleh penyelidik UTM.

Explore More