Disember 26, 2024

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa berpegang teguh dengan #DNAUTMnya. Setiap aktiviti yang dilakukan adalah demi menyahut inisiatif universiti agar selaras dengan aspirasi universiti. Salah satu #DNAUTM yang paling utama ialah #UTMPrihatin. Melalui inisiatif ini, keprihatinan warga UTM terpancar jelas dalam pelbagai aktiviti yang telah dilakukan sebelum ini seperti Because We Care Chancellor’s Fund, Suspended Meals, Pemberian Zakat dan Penyediaan Tabung Endowmen,

Sehubungan itu sempena bulan Ramadan yang mulia ini, seluruh warga UTM sekali lagi telah bersatu hati mengambil inisiatif bagi meringankan beban pelbagai golongan khususnya mahasiswa di UTM iaitu penyediaan makanan untuk sesi berbuka puasa atau iftar.

Menariknya, sumbangan dari staf hingga ke alumni diperoleh malah mahasiswa sendiri turut terpanggil untuk memberi sumbangan semampu yang boleh.

Pusat Islam UTM 

Sebagai contoh inisiatif warga UTM sendiri dapat dilihat melalui Program ‘Bakul Ramadan @ MSI’.

Program anjuran Pusat Islam UTM ini menyediakan juadah berbuka puasa percuma untuk pelajar di Masjid Sultan Ismail, UTM Kampus Johor Bahru setiap hari hasil sumbangan daripada warga UTM.

Sehingga hari ketujuh Ramadan, warga Pusat Islam dan warga UTM keseluruhannya telah berjaya mengumpul RM123,859. Program ini masih memerlukan baki dana berjumlah RM151,140.

Kutipan yang begitu menggalakkan ini menunjukkan betapa prihatinnya warga UTM dalam membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.

Malah yang paling bermakna, pelajar-pelajar ini turut bersama-sama bergotong-royong dalam menyediakan makanan termasuklah pelajar tempatan yang Islam dan bukan Islam serta pelajar antarabangsa.

Bagi warga UTM yang khususnya tinggal di Johor, perkara sebegini mungkin kurang bermakna tetapi tidak bagi mereka yang tinggal jauh dari keluarga.

Aktiviti iftar sebegini lah yang akan menyimpan pelbagai kenangan manis apabila berbuka bersama sahabat handai sebagai pengganti keluarga yang jauh dari mata.

Di samping itu, Pusat Islam Kuala Lumpur pula telah mengadakan program Ihya’ Ramadan  2019/1440H.

Antara program Ihya’ Ramadan sempena bulan Ramadan yang mulia ini adalah Tadarus Al-Quran, Ceramah/Tazkirah, Qiamullail, Berbuka Puasa & Moreh sehari RM7500.00 setiap malam, Iftar Perdana dan Bersahur.

Sehubungan dengan itu, Pusat Islam turut menyediakan platform kepada warga UTM untuk menyumbang melalui pelbagai pakej yang disediakan.

Bantuan yang sepertinya kecil di mata kita sebenarnya mungkin amat besar bagi mereka yang memerlukan.

 

Dr. Muhammad Fathi (dua dari kanan) sebagai wakil Pusat Islam UTM Kuala Lumpur menerima sumbangan Ihya’ Ramadan dari Dekan Fakulti Teknologi Informatik Razak, Prof Ir Dr Sha’ri Mohd Yusof (dua dari kiri)) dan seluruh warga Fakulti Teknologi Informatik Razak

Alumni UTM 

Persatuan Ex. Tech. College dengan kerjasama Persatuan Alumni UTM pula telah memberi sumbangan Iftar kepada fakir miskin di kawasan Kampung Baru, Chow Kit dan Hospital Kuala Lumpur.

Sumbangan yang diberi berbentuk makanan dan doa tahlil.

Ex. Tech. College adalah diketuai oleh Tn Hj Ir Kamarudin bin Ahmad dianggotai oleh pelbagai alumni UTM yang pada asalnya merupakan insan terpilih yang memasuki Maktab Teknik Kuala Lumpur dalam pelbagai bidang utama kejuruteraan.

Selain itu UTM Alumni turut mengambil inisiatif menyeru alumni UTM untuk memberi sumbangan kepada Majlis Iftar Alumni bersama pelajar yang akan diadakan pada 25 dan 26 Mei 2019 nanti atau kepada tabung Endowmen.

Bertemakan ‘bersama menyemarak silaturrahim dan keberkatan bersedekah di bulan Ramadan’, melalui sumbangan yang dihulurkan ini bukan sahaja mengeratkan silaturrahim apabila alumni ini hadir ke majlis tersebut malah inilah peluang yang terbaik untuk memanfaatkan bulan Ramadan yang mulia dengan bersedekah.

Di samping penyediaan makanan untuk iftar, warga UTM turut bermurah hati menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti Baju Raya Project iaitu penyerahan baju raya yang telah terkumpul serta 5221 pakej beras, tepung, gula dan susu pekat melalui Post Graduate Student Society (PGSS) UTM dengan kerjasama Sukarelawan Projek Kasih dan Masjid Al Jawaher Mutiara Rini.

Kempen “JOM BALIK KAMPUNG” pula merupakan inisiatif baharu Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM (CCIN) melalui UTM Care Charity Shop untuk membantu pelajar B40 yang berasal daripada Sabah dan Sarawak agar dapat pulang beraya Aidilfitri bersama keluarga tercinta. 

Sumbangan yang diterima ini akan digunakan bagi membantu pembelian tiket kapal terbang kepada mereka.

Semoga usaha murni ini akan sentiasa mendapat keberkatan dan dapat membantu meringankan beban pelajar UTM malah orang awam.

Explore More