April 17, 2024

Search
Close this search box.

Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019-2023 UTM-JPNJ Dukung Aspirasi SDG Universiti

JOHOR BAHRU, 3 Feb. —  Sebuah Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019-2023 hasil usahasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah dilancarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Engku Tun Aminah (SETA), Johor Bahru pada akhir Januari lalu.

Pelan tindakan yang pertama seumpana ini merupakan komitmen daripada Kerajaan Negeri Johor bersama-sama agensi pendidikan dan bukan pendidikan bagi  mencapai pembangunan lestari dan mampan di negeri Johor sesuai dengan  Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan UTM.

Perancangan strategik yang tersusun ini bertujuan membudayakan kesedaran kelestarian melalui pendidikan untuk semua sekolah di negeri Johor dalam merealisasikan Dasar Kelestarian Negeri Johor.

Pelan Tindakan yang dibangunkan oleh UTM dan JPNJ ini mempunyai lima strategi yang disusun secara tersasar berdasarkan hasil kajian untuk memperkasakan bidang kurikulum, kokurikulum, pentadbiran, pengurusan dan penilaian dari pelbagai peringkat pendidikan di negeri Johor.

Dengan adanya Pelan Tindakan ini pelbagai program dan projek kelestarian di negeri Johor dapat diselaraskan supaya lebih berfokus dan berimpak tinggi berdasarkan tiga elemen utama iaitu pendidikan kelestarian, pendidikan STEM dan pembelajaran abad ke-21.

Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor , Yang Berhormat Haji Aminolhuda bin Haji Hassan dan bersama-sama Pengerusi  Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi  Negeri Johor,  Yang Berhormat Tan Hong Pin.

Dalam Seminar dan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor, 35 Rakan Pintar telah dilantik bagi menjayakan pelan tindakan ini yang termasuk UTM, Iskandar Regional Development Authority, RCE Iskandar, SWM Environment Sdn Bhd, Jabatan-jabatan, agensi-agensi, NGO, dan syarikat swasta.

Antara program yang telah dijalankan di sekolah-sekolah di Johor selama ini yang bertepatan dengan kehendak ini adalah seperti Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC), Problem Based Learning for Low Carbon Society (PBL-LCS), RCE Iskandar Sustainable and Low Carbon Schools Exhibition dan sebagainya.

Seminar tersebut turut dihadiri oleh  200 pengetua dan guru besar dari seluruh negeri Johor dan telah diberi pendedahan tentang pendidikan kelestarian yang telah dirangka bagi tahun 2019-2023 ini.

Sekolah-sekolah Showcase Kelestarian yang telah memenangi IMELC dan PBL LCS turut menjayakan pameran dan pembentangan kepada para hadirin.

Prof. Madya Dr. Fatin Aliah Phang menyampaikan ucaputama semasa majlis pelancaran
Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019-2023 telah dilancarkan oleh YB Hj Aminolhuda Hassan

Explore More