JOHOR BAHRU, 13 Jan. — Pelajar dan tenaga pengajar dari Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) beroleh pengalaman berguna apabila dapat menimba ilmu teknologi dan kepakaran dalam aplikasi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dalam sesi lawatan sambil belajar ke Ranhill SAJ Sdn Bhd.

37 orang pelajar Sarjana Muda Sains (Geoinformatik) dan dua orang pensyarah tersebut telah didedahkan dengan latar belakang syarikat, yang dahulu dikenali sebagai Jabatan Air Johor, sehinggalah yang terkini dikenali sebagai Ranhill SAJ Sdn Bhd.

Selain itu, para pelajar juga didedahkan dengan aplikasi-aplikasi yang dibangunkan, terutama aplikasi yang melibatkan GIS yang berkaitan dengan bidang geoinformatik.

Para pelajar kemudiannya diberikan taklimat aplikasi GIS yang telah dibangunkan, apa fungsi-fungsi khusus yang telah dibangunkan, serta masih digunakan sehingga sekarang.

Selain itu, para pelajar juga dibawa meninjau bilik operasi Ranhill SAJ Info Center, yang bertujuan bagi mengambil aduan, menyemak aduan atau apa-apa laporan berkenaan paip bocor, atau ketiadaan serta lain-lain isu.

Semua laporan ini kemudiannya disambungkan kepada pelbagai unit dan bahagian dalam Ranhill SAJ untuk tindakan lanjut.