JOHOR BAHRU, 13 Nov. – Acara yang paling dinanti-nanti oleh bukan sahaja warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sepanjang musim konvokesyen malah oleh seluruh warga Johor Bahru, Festival Konvokesyen (FesKo) telah bermula apabila dirasmikan secara gilang-gemilang oleh Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, pada Majlis Perasmian FesKo di sini, hari ini.
Sebanyak tiga tema utama telah diketengahkan festival kali ke – 61 tersebut bagi menyemarakkan sambutan program berkenaan, iaitu Kemanusiaan (Humanity), Kesenian (Artistry) dan juga Enthusiasime (Semangat) bagi menunjukkan kelestarian program berkenaan yang setara dengan universiti.
Pengarah Program Fesko UTM KE-61, Mohd Fazle Mohamad berkata ketiga-tiga tema itu telah dipilih melalui mesyuarat khas bersama-sama dengan jawatankuasa penganjur sebelum majlis bermula.
“Kami telah bersetuju dengan idea integrasi dalam membentuk sebuah kampus lastari untuk mewujudkan budaya keilmuan yang dipenuhi dengan elemen-elemen insaniah dan kepelbagaian seni dalam sesebuah komuniti itu.
“Tema ini dalam masa yang sama juga akan melahirkan sifat kesungguhan mahasiswa yang membara untuk menjadikan kampus ini yang terbaik setaraf dengan nama Universiti Teknologi Malaysia itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Fesko UTM ke-61 di Dataran UTM semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus.
Mohd. Fazle selanjutnya menyatakan sebagai penganjur, pihaknya sedaya upaya memastikan bahawa penganjuran segala aktiviti dalam Fesko ke-61 ini tidak lari dari ketiga-tiga tema yang telah pun dipilih ini.
“Program ini akan berlangsung dari 10 hingga 17 November 2018 dan setiap hari akan dipenuhi oleh aktiviti-aktiviti menarik yang bakal menarik lebih ramai pengunjung ke festival ini.
“Contoh bagi aktiviti yang bercorak kemanusiaan adalah Woman’s Day pada 16 November 2018 di mana kami akan memangil golongan ibu-ibu tunggal dari seluruh negeri Johor untuk melaksanakan beberapa aktiviti bersama-sama mahasiswa UTM,” katanya lagi.
Pada hari tersebut, beberapa aktiviti telah pun dirancang bersama-sama dengan golongan ibu tunggal ini iaitu Pink Zumba, Pesta Dapur, Kraftangan FESKO bersama Vinca Label dan juga pertandingan solekan (Makeup Challenge).
Aktiviti yang bertemakan Kesenian pula adalah pada hari pertama (10 November 2018) di mana Program UTM Rising Stars telah dianjurkan.
“Program ini terbuka kepada pelajar UTM di mana mereka dikehendaki untuk menunjukkan bakat seni dalam diri mereka.
“Pertandingan ini dibahagikan kepada lima kategori iaitu Seni Suara, Sajak/Syair dan Pantun, Bakat Menari, Pancaragam terbuka (Live Band) dan juga Lain-lain bakat (melawak dan berlakon). Pemenang bagi setiap kategori akan bertanding sesama sendiri bagi menentukan johan keseluruhan,” katanya lagi.
Bagi tema semangat mahasiswa (Enthusiasime) pula, penganjur telah memilih untuk memberikan penekanan kepada aktiviti sukan bagi memberi lebih pengertian mengenai sifat semangat di kalangan mahasiswa.
“Untuk tema ini, kami telah menetapkan untuk menganjurkan pertandingan sukan yang akan berlangsung pada 17 November kelak.
“Bagi mengisi slot ini, sebanyak tiga acara sukan akan dipertandingkan bagi merebut Piala FESKO. Tiga acara tersebut adalah pertandingan Futsal, Bola Jaring dan Bola Keranjang.
“Beberapa aktiviti lain juga akan dianjurkan iaitu Larian Dalam kampus sejauh 5km (Slime Run 2018), pertandingan memancing, Yok Ngail@Daiwa dan juga pertandingan permainan video online, LADS ESPORTS OPEN 2.0,” katanya.