November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 24 Julai 2018 – Astro Awani dan Pusat Data Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atau UTM Big Data Centre telah memeterai kerjasama strategik untuk membuka lebih banyak potensi dalam pemerolehan data dan maklumat dalam laporan berita di Astro Awani.

Menurut Ketua Digital Astro Awani, Hafidah Samat, kerjasama ini adalah komitmen berterusan Astro Awani untuk melaporkan berita dengan informasi yang menyeluruh.

Ini juga sebahagian strategi Astro Awani untuk kekal sebagai jenama berita yang paling dipercayai.

“Inisiatif ini juga akan mewujudkan sinergi perkongsian kepakaran universiti tempatan dan juga media yang berterusan di masa akan datang,” katanya selepas sesi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Astro Awani dan UTM.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) diantara pihaknya dan juga UTM yang diwakili oleh Prof. Dr. Abdull Rahim Hj. Mohd Yusoff.

Timbalan Pengarah UTM Big Data Centre (UTMBDC), Dr. Shafatunnur Hassan berkata kerjasama ini dapat memberikan peluang kepada pakar untuk mengaplikasikan kepakaran kecerdikan pembuatan (AI) dan juga ‘machine learning’ dalam proses laporan berita.

Tambahnya lagi, ini akan memenuhi permintaan masyarakat yang kini lebih matang menilai maklumat berdasarkan fakta.

MOU ini adalah kesinambungan usaha yang dilakukan UTM sejak setahun lalu untuk membantu Astro Awani dalam laporan berita berteraskan data.

Menurut Timbalan Dekan Fakutli Kejuruteraan UTM, Prof Dr Naomie Salim pula, kerjasama seperti ini akan memudahkan proses pemindaan teknologi dan kepakaran yang dimiliki pihak universiti untuk dikongsi bersama industri.

Majlis ini diadakan sempena penganjuran seminar 4th International Workshop on Big Data Analytics (IWDBA) 2018 yang berlangsung di Pulai Springs Resort, Johor Bahru pada 24 hingga 25 Julai 2018.

Prof. Dr. Abdull Rahim ( tiga kiri) dan Ketua Digital Astro Awani, Hafidah Samat sewaktu majlis pertukaran MoU di Pulai Springs, Johor Bahru.

Explore More