Disember 19, 2024

UTM terima 470 mahasiswa baharu bagi semester 2 Sesi 2017/2018

JOHOR BAHRU, 12 Februari 2018 – Seramai 470 mahasiswa baharu telah mendaftarkan diri bagi mengikuti sesi pengajian Semester Dua Sesi 2017/2018 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Mahasiswa baharu mendaftar di SRAD UTM Johor Bahru.

Timbalan Pengarah Bahagian Rekrutmen dan Kemasukan Mahasiswa (SRAD), Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Zainuddin berkata, mereka terdiri daripada 366 mahasiswa pasca siswazah dan 104 orang prasiswazah.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan seramai 266 orang adalah mahasiswa tempatan, manakala 100 orang lagi adalah pelajar antarabangsa yang mendaftar bagi mengikuti pengajian di peringkat pasca-Siswazah.

“Seramai 100 orang mendaftar bagi peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang membabitkan 59 mahasiswa tempatan dan 41 orang antarabangsa.

“Jumlah kemasukan di peringkat Ijazah Sarjana pula mencatatkan seramai 266 orang dengan 207 daripadanya adalah pelajar tempatan manakala 59 lagi adalah mahasiswa antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di pejabatnya pada hari pendaftaran pelajar baharu yang berlangsung pada 6 Februari lalu.

Dr Zainal Abidin berkata, mahasiswa antarabangsa akan mengikuti Aktiviti Orientasi selama seminggu di bawah kendalian UTM International manakala pelajar tempatan akan terus memulakan sesi pengajian mereka sebaik sahaja semester baharu bermula.

“Pada pendaftaran kali ini, SRAD telah memperkenalkan kaedah pembayaran yuran pengajian oleh pelajar antarabangsa secara atas talian sebelum kedatangan mereka ke UTM.

“Kaedah ini amat berkesan dalam membantu kelancaran proses pendaftaran di samping meningkatkan aspek keselamatan mahasiswa kerana tiada perlu membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak,” katanya.

 

 

Explore More