Mei 12, 2024

Search
Close this search box.

23 usahawan PKS berjaya tamatkan kursus SME@UTM 2017

JOHOR BAHRU, 9 Disember 2017 – Seramai 23 orang usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah menerima sijil masing-masing dalam Majlis Graduasi SME@UTM 2017 yang berlangsung di Hotel V8, Taman Nusa Bistari, Johor Bahru, hari ini.

Prof. Dr. Azlan menyampaikan sijil kepada peserta.

Sijil disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman.

Prof. Azlan berkata, program yang dimulakan pada tahun 2011 itu telah memberikan manfaat kepada seramai 846 usahawan PKS dari seluruh negara.

“Program SME@UTM 2017 ini adalah salah satu latihan pembangunan perniagaan khusus kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat yang dianjurkan oleh Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia atau SME Corporation Malaysia (SME Corp) dengan kerjasama dari UTM Center for Student Innovation & Technology Entrepreneurship (UTM XCITE).

“Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk menyediakan platfom bagi usahawan PKS untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan melalui pembelajaran berstruktur yang diberikan oleh tenaga pengajar UTM dan juga rakan-rakan industri,” katanya semasa menyampaikan ucapan.

Beliau berkata, terdapat perubahan dalam rekabentuk dan penyampaian modul SME@UTM 2017 berbanding dengan versi tahun 2016 iaitu berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0 atau IR4.0.

Perkara itu disebabkan impak yang bakal ditempuhi warga dunia dan Malaysia khasnya yang memberikan reaksi campur baur kepada IR4.0 ini.

“Kita biasa mendengar istilah Smart City, Big Data, Internet of Things (IoT) dan Distruptions. Kesemua istilah ini mempunyai perkaitan rapat dengan IR4.0 dan jika kita tidak ambil serius untuk memahami dan mengaplikasikannya, maka kita akan tertinggal dan Model Perniagaan (Business Model) kita akan menjadi tidak lagi relavan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan menamatkan program SME@UTM itu menunjukkan bahawa mereka adalah golongan usahawan yang sentiasa mahu memajukan diri sendiri dan perniagaan yang diusahakan.

“Adalah diharapkan agar segala mutiara-mutiara ilmu yang ditimba di UTM ini dapat dimanfaatkan oleh para usahawan yang ingin memajukan diri sendiri dan juga perniagaan yang diusahakan,” katanya.

Sebanyak 10 buah Universiti Awam (UA) dan swasta di seluruh Malaysia telah bekerjasama dengan SME Corp bagi menjayakan program berklenaan.

Universiti berkenaan ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Malaysia (USM), HELP University, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan juga Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Program berkenaan berlangsung selama tiga bulan dengan modul yang tawarkan terdiri daripada subjek Pemasaran Kreatif, Pengurusan Kewangan dan Perakaunan, Strategi Pertumbuhan Perniagaan dan Inovasi.

Program latihan tiga bulan ini disusun agar sesuai dengan keperluan golongan usahawanan PKS dengan pendekatan semi-bimbingan dan semi-perundingan, yang dijalankan oleh pakar bidang dan pembicara tamu di kalangan ahli akademik dan pemain industri.

Di samping itu kaedah belajar melalui rujukan kajian kes, pembelajaran lapangan dan kursus berbentuk pengkhususan juga turut ditawarkan.

Explore More