Mei 14, 2024

Search
Close this search box.

200 warga kampus terlibat Latihan Pengujian Pelan Kecemasan Nuklear UTM

JOHOR BAHRU, 11 Oktober 2017 – Seramai 200 orang warga kampus terlibat dalam sesi latihan menguji Pelan Kecemasan Nuklear dan Radiologikal yang dijalankan di Bilik Penyimpanan bahan radioaktif di C22, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Unit HAZMAT JBPM sedang melakukan pengesanan radiasi pada salah seorang mangsa kebakaran Stor simpanan Bahan Radioaktif UTM.

Latihan yang dijalankan bagi mengkaji keberkesanan pelan kecemasan tersebut melibatkan kakitangan dari tiga agensi iaitu UTM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA).

Unit khas dari LPTA sedang bersiap sedia untuk meninjau tahap radiasi di kawasan kebakaran di Stor Simpanan Radioaktif UTM.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman berkata, UTM perlu bertindak pantas  dan teratur semasa kecemasan nuklear atau radiologikal melalui pengaktifan Pelan Tindakan Kecemasan.

Staf dan mahasiswa yang berada di Blok C22 bergegas keluar dari premis masing-masing

“Ini bagi membolehkan pelan yang sedia ada dapat diaktifkan secara efektif sekaligus boleh mengawal keadaan serta mengurangkan kesan buruk kepada pekerja, harta benda dan alam sekitar.

“Latihan ini juga adalah selaras dengan Peraturan-peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Perlindungan Sinaran Keselamatan Asas) 2010 menyatakan bahawa UTM sebagai pemegang lesen di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304),” katanya dalam sidang media selepas sesi latihan selesai.

Turut hadir adalah Timbalan Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UTM, Prof. Madya Dr. Jafariah Jaafar.

Mengikut akta, UTM selaku pemegang lesen yang ditakrifkan dalam ‘Code of Conduct On The Safety and Security Of Radioactive Sources’ hendaklah menyediakan Pelan Kecemasan Nuklear dan Radiologikal bertujuan memastikan program kesiapsiagaan semasa berlaku kecemasan radiologi.

“Segala aktiviti penyelidikan dan pengajaran berasaskan bahan radioaktif dan radas penyinaran berada di bawah kawal seliaan LPTA dan tertakhluk kepada pemeriksaan berkala yang ketat dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan sekuriti punca radioaktif,” katanya lagi.

Pelan Kecemasan Nuklear dan Radiologikal ini telah digunapakai selepas mendapat kelulusan LPTA pada 3 Februari 2016 bagi memastikan kakitangan UTM yang mengendalikan bahan radioaktif mendapat pendedahan dan persediaan dalam menghadapi situasi kemalangan dan kecemasan melibatkan bahan berbahaya ini.

“UTM akan memastikan tahap keselamatan di kemudahan penstoran punca radioaktif dan lokasi di mana punca radioaktif dikendali berada di tahap yang terkini.

“Tidak ada kompromi di dalam penyediaan latihan serta peruntukan yang melibatkan keselamatan dan sekuriti bahan radioaktif,” katanya.

Explore More