Tuaian tiga kilogram madu kelulut buka peluang ekonomi komuniti Orang Asli Simpang Arang

SDGSDG8SDG12SDG13SDG17

📝 Ringkasan

Projek penternakan lebah kelulut di Kampung Simpang Arang, Iskandar Puteri, telah berjaya menghasilkan tiga kilogram madu dengan nilai pasaran RM900. Pencapaian ini menunjukkan potensi penternakan kelulut sebagai sumber ekonomi tambahan bagi komuniti Orang Asli setempat. Kursus Asas Penternakan Lebah Kelulut Peringkat 2 telah membantu penduduk kampung meningkatkan kemahiran penternakan kelulut dan mengenal pasti musuh dan ancaman yang boleh menjejaskan perkembangan koloni.

 

ISKANDAR PUTERI, 21 Nov. – Projek penternakan lebah kelulut yang diusahakan komuniti Orang Asli Kampung Simpang Arang mula menunjukkan hasil apabila sebanyak tiga kilogram madu berjaya dituai daripada rumah kelulut bakau yang dibangunkan kira-kira tiga bulan lalu, dengan anggaran nilai pasaran RM900.

Pencapaian itu merupakan perkembangan positif bagi projek Kelulut Bakau: Keusahawanan Hijau dan Pendigitalan Komuniti Orang Asli yang diteruskan menerusi Kursus Asas Penternakan Lebah Kelulut Peringkat 2 di Kampung Orang Asli Simpang Arang, Iskandar Puteri. Kursus berkenaan disertai 21 penduduk kampung.

Abd Samad Samiran menunjukkan kaedah menyediakan perangkap lebah kelulut menggunakan bahan terpakai

Menurut Ketua Projek, Dr. Noraindah Abdullah Fahim, hasil tuaian tersebut menunjukkan potensi penternakan kelulut untuk diterokai sebagai salah satu sumber ekonomi tambahan kepada komuniti setempat.

“Alhamdulillah, kita dapat melihat hasil daripada usaha yang telah dimulakan sebelum ini. Rumah kelulut bakau yang dibangunkan kira-kira tiga bulan lalu kini berjaya menghasilkan sebanyak tiga kilogram madu, dengan anggaran nilai pasaran RM900. Pencapaian ini merupakan satu perkembangan yang menggalakkan dan membuktikan potensi penternakan kelulut sebagai salah satu aktiviti ekonomi yang boleh diterokai oleh komuniti Orang Asli Simpang Arang,” katanya.

Kursus yang dikendalikan oleh Abd Samad Samiran daripada Daily Fresh Farm Enterprise itu memberi tumpuan kepada penyediaan perangkap lebah kelulut serta kaedah mengenal pasti musuh dan ancaman yang boleh menjejaskan perkembangan koloni.

Lebah kelulut yang mendiami log kayu dalam projek penternakan komuniti Orang Asli Kampung Simpang Arang

Menerusi demonstrasi praktikal, peserta diperkenalkan kepada kaedah menghasilkan perangkap kelulut menggunakan bahan terpakai seperti balang bekas kerepek dan botol air mineral. Penggunaan bahan yang mudah diperoleh itu membolehkan penduduk menyediakan perangkap sendiri dengan kaedah yang ringkas dan menjimatkan kos, sekali gus membuka peluang untuk mendapatkan koloni kelulut baharu.

Selain aspek penyediaan perangkap, peserta turut diberi pendedahan mengenai ancaman terhadap koloni, termasuk lalat askar hitam, larva dan haiwan liar seperti monyet yang berpotensi merosakkan struktur log kayu.

Abd Samad Samiran berkata, pengetahuan untuk mengenal pasti musuh dan ancaman kelulut penting bagi memastikan keadaan sarang serta koloni sentiasa terpelihara.

“Komuniti perlu mengenali musuh dan ancaman ini kerana kerosakan pada kayu log boleh menjejaskan keadaan sarang dan keselamatan koloni kelulut. Oleh itu, pemantauan secara berkala amat penting bagi memastikan log sentiasa berada dalam keadaan baik dan koloni dapat berkembang dengan lebih teratur,” jelas beliau.

Kursus Peringkat 2 itu merupakan kesinambungan daripada Bengkel Asas Penternakan Lebah Kelulut yang diadakan pada 15 Ogos 2026. Sejak latihan pertama dilaksanakan, penduduk kampung meneruskan usaha membina rumah kelulut, termasuk rumah kelulut bakau yang kini telah menghasilkan tuaian madu.

Abd Samad Samiran dan Dr. Noraindah Abdullah Fahim memeriksa sarang kelulut bakau yang dibangunkan kira-kira tiga bulan lalu

Malah, penduduk turut meneruskan pembinaan rumah kelulut tambahan bagi memperluas aktiviti penternakan. Perkembangan ini memperlihatkan penglibatan komuniti dalam mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh menerusi latihan, dengan sokongan dan bimbingan pasukan projek.

Projek Kelulut Bakau menggabungkan pembangunan kemahiran penternakan kelulut, pemanfaatan sumber semula jadi dan keusahawanan hijau. Inisiatif Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu dilaksanakan menerusi Fakulti Pengurusan dan Akademi Bahasa dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Daily Fresh Farm Enterprise.

Peserta mengikuti penerangan dan demonstrasi praktikal dalam Kursus Asas Penternakan Lebah Kelulut Peringkat 2

Pelaksanaan projek ini menerima pembiayaan menerusi Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 6.0 daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Geran berkenaan merupakan inisiatif pembiayaan MBIP bersama rakan strategik, termasuk UTM, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan SWM Environment Sdn. Bhd., bagi menyokong pelaksanaan projek komuniti rendah karbon dalam kawasan pentadbiran MBIP.

Melalui latihan secara berperingkat dan penglibatan aktif penduduk, projek Kelulut Bakau diharapkan dapat membantu meningkatkan keupayaan komuniti Orang Asli Kampung Simpang Arang menguruskan penternakan kelulut secara lebih berdikari, di samping membuka peluang ekonomi berasaskan sumber tempatan.

Proses penyedutan madu daripada rumah kelulut bakau yang diusahakan komuniti

Explore More

UTM Open Day