📝 Ringkasan
Program Bunga Raya Cultural Odyssey (BRCO) 2026 telah berjaya menyatukan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi pertukaran budaya dan aktiviti khidmat masyarakat di Sarawak. Program ini telah membuka ruang interaksi dan perkongsian pengalaman antara mahasiswa dari kedua-dua institusi.
KOTA SAMARAHAN, 9 Nov. – Jalinan kerjasama antara mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus disemarakkan menerusi penganjuran program Bunga Raya Cultural Odyssey (BRCO) 2026: Rentak Borneo, Jiwa Komuniti yang menggabungkan aktiviti pertukaran budaya, kesukarelawanan dan khidmat masyarakat di Sarawak.
Program tersebut merupakan hasil kerjasama antara Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej 9 dan 10, UTM dengan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Bunga Raya, UNIMAS, sekali gus menyediakan ruang interaksi dan perkongsian pengalaman antara mahasiswa dari kedua-dua institusi.
Delegasi UTM yang terdiri daripada 20 orang pelajar diketuai oleh Pengetua Kolej 9 dan 10, Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Rahman Tamuri, bersama penasihat program, Siti Fawziah Mohd Noor dan Muhammad Danial Ikram Rosdi, serta Pengarah Program, Steven Raj M. Peter. Mereka menyertai 31 orang pelajar dan tiga orang penasihat dari UNIMAS sepanjang program berlangsung.
Program bermula pada 6 November 2026 dengan ketibaan delegasi UTM di Kolej Bunga Raya, UNIMAS. Sesi suai kenal dan aktiviti riadah seperti berkayak serta berjalan pantas diadakan bagi mengeratkan hubungan antara peserta kedua-dua universiti.
Pada sebelah malamnya, Majlis Pembukaan BRCO 2026 disempurnakan oleh Pengetua Kolej Bunga Raya, UNIMAS, Dr. Siti Zaleha Raduan, sebagai permulaan kepada rangkaian aktiviti integrasi budaya dan kesukarelawanan yang dirancang sepanjang program.
Keesokan harinya, pada 7 November 2026, delegasi UTM dan UNIMAS bertolak ke Rumah Panjang Teddy Jungkal, Betong, Sarawak untuk melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat. Ketibaan mereka disambut oleh penduduk setempat menerusi adat istiadat tradisional masyarakat Iban.
Sepanjang berada di rumah panjang tersebut, para peserta berpeluang mengenali kehidupan dan budaya masyarakat setempat melalui jamuan tradisional serta sesi penyerahan keluarga angkat yang melibatkan 13 keluarga.
Pengalaman selama tiga hari dua malam itu turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan keluarga angkat, menyelami kehidupan harian masyarakat rumah panjang serta mengenali warisan muzik tradisional Sarawak seperti tawak, bebendai dan engkerumong. Para peserta juga berpeluang mempelajari dan mencuba sendiri alat muzik tradisional berkenaan.
Pada 8 November 2026, aktiviti khidmat masyarakat (USR) diteruskan dengan senamrobik, gotong-royong membersihkan kawasan rumah panjang serta aktiviti Jejak Warisan yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai sejarah dan seni bina rumah panjang.

Selain itu, sukan rakyat turut dianjurkan pada sebelah petang dengan penyertaan mahasiswa dan penduduk setempat, sekali gus mewujudkan suasana interaksi yang lebih santai antara kedua-dua pihak.
Kemeriahan program diteruskan pada sebelah malam menerusi malam kebudayaan bertemakan Malam Kita, Budaya Kita yang menjadi platform pertukaran seni dan warisan budaya antara peserta dengan komuniti setempat.

Pada acara tersebut, mahasiswa mempersembahkan tarian kebudayaan serta peragaan pakaian tradisional Sarawak, manakala penduduk Rumah Panjang Teddy Jungkal turut mempersembahkan seni warisan etnik Iban, termasuk tarian Ngajat. Persembahan tersebut memberi peluang kepada peserta untuk mengenali kepelbagaian seni dan budaya masyarakat Sarawak dengan lebih dekat.

Selepas tiga hari dua malam bersama komuniti, Majlis Penutupan BRCO 2026 bersama penduduk Rumah Panjang Teddy Jungkal berlangsung pada pagi 9 November 2026.
Mengulas penganjuran program tersebut, Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Rahman Tamuri berkata, inisiatif berkenaan menjadi salah satu wadah untuk memupuk perpaduan nasional melalui interaksi dan kerjasama mahasiswa daripada latar belakang yang berbeza.
“Program ini merentas wilayah, budaya, agama serta etnik bangsa yang menjamin keharmonian dan kemajmukan Malaysia,” katanya.
Sebelum berlepas pulang ke Johor pada 10 November 2026, delegasi UTM turut mengadakan lawatan sambil belajar ke Muzium Budaya Borneo, bersiar-siar di Tebingan Kuching (Kuching Waterfront) serta mengunjungi perusahaan tempatan Kek Lapis Warisan.
Rangkaian aktiviti tersebut diakhiri dengan Majlis Perpisahan UNIMAS dan UTM yang merangkumi sesi refleksi serta pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan dan kenangan sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhannya, penganjuran BRCO 2026 bukan sahaja memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat Sarawak, malah menyediakan pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan.
Program ini turut menyokong pembentukan nilai kesukarelawanan, integriti dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa, di samping membuka ruang kepada kesinambungan kerjasama antara UTM dan UNIMAS dalam menjayakan inisiatif yang memberi manfaat kepada institusi serta masyarakat.